BELANJAWAN 2025 > BERITA

Usaha Perlu Diperkasa Eratkan Hubungan China-Jepun - Wang Yi

26/12/2024 03:37 PM

BEIJING 26 Dis (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi mengemukakan cadangan untuk mempererat hubungan China-Jepun dalam bidang sosiobudaya semasa menghadiri mesyuarat kedua di bawah Mekanisme Perundingan dan Pertukaran Sosiobudaya Peringkat Tinggi China-Jepun bersama dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Takeshi Iwaya di sini pada Rabu.

Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata semakin banyak jambatan untuk pertukaran persahabatan dalam kalangan rakyat telah dibina dalam tempoh lima tahun sejak penubuhan Mekanisme Perundingan dan Pertukaran Sosiobudaya Peringkat Tinggi China-Jepun.

Beliau turut mencadangkan kedua-dua pihak memperkukuh pertukaran dua hala.

“Lebih banyak langkah perlu diambil untuk memudahkan mobiliti keanggotaan, terutamanya menggalakkan lawatan dan pertukaran dalam kalangan belia.

“Kedua-dua pihak perlu menambah elemen baharu dalam pertukaran dan menyokong antara satu sama lain dalam penganjuran temasya dan acara sukan utama seperti Sukan Asia Musim Sejuk, Sukan Asia dan Ekspo Dunia yang dipercayai kondusif bagi pertukaran dalam kalangan rakyat.

“Kedua-dua pihak perlu menjana impak sosial dalam suasana proaktif, terutamanya menyokong pertukaran antara kumpulan pemikir dan membantu warga media meningkatkan ketepatan dalam membuat liputan supaya dapat mendorong hubungan bilateral berkembang dengan sihat," kata Wang. 

Ketika menyebut tentang tahun depan yang menandakan ulang tahun ke-80 kemenangan dalam Perang Rakyat China menentang pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, Wang berkata, perang pencerobohan yang dilancarkan oleh kuasa tentera Jepun itu  membawa malapetaka yang dahsyat, bukan hanya kepada rakyat China dan Jepun, tetapi juga kepada rakyat negara Asia lain yang terbabit.

Sejarah ini perlu disemat dalam ingatan dan kita juga perlu menimba pelajaran daripadanya dan menghargai keamanan yang tidak datang mudah.

“Kami (China) berharap dan yakin, pihak Jepun menunjukkan keazaman untuk mewujudkan pembangunan secara aman sekali lagi dan bekerjasama dengan China untuk menggalakkan perkembangan hubungan China-Jepun yang sihat dan stabil dengan menyemarakkan semangat ‘melihat fakta sejarah dengan tepat untuk meneroka masa depan’," kata Wang.

Iwaya pula menyatakan pihaknya bersedia bekerjasama dengan China untuk meningkatkan kualiti program pertukaran dalam bidang sosiobudaya, memperkasa pertukaran antara bandar kembar dan mengambil lebih banyak langkah untuk mempermudah pertukaran keanggotaan.

Mesyuarat itu telah membuat gerak kerja utama untuk peringkat seterusnya dan mencapai kata sepakat yang meluas mengenai memperkasa kerjasama dalam bidang golongan belia, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, sukan, media, filem dan televisyen, isu daerah dan golongan wanita.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan