BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Madani: Tiada Rakyat Dipinggirkan, Kesejahteraan Rakyat Jadi Tunjang - PM Anwar

26/12/2024 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus bekerja untuk membina masa depan Malaysia yang lebih terangkum dan gemilang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketika ini, kerajaan telah merangka usaha yang jitu untuk memastikan tidak ada rakyat dipinggirkan sama ada orang miskin, anak muda, wanita, warga emas, petani, nelayan, pelajar, warga kota dan desa.

“Antara keutamaan terpenting Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini adalah memastikan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang dalam setiap inisiatif yang dirangka dan dilaksanakan.

“Setiap langkah diambil dengan matlamat membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna dan bermaruah,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Sebelum ini Anwar berkata sepanjang tempoh dua tahun, Kerajaan MADANI telah melaksanakan banyak inisiaitf dalam usaha mengangkat martabat rakyat dan negara, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memanfaatkan sembilan juta penerima B40.

Selain itu, inisiatif lain ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8.4 juta penerima untuk membeli keperluan asas di 600 kedai runcit dan pasar raya, serta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kepada 4,615 peserta golongan B40, miskin dan miskin tegar sehingga berjaya menambah pendapatan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan