BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kebanyakan Yang Terlibat Dalam Sambutan Krismas Di KPKT Adalah Bukan Muslim

27/12/2024 04:17 PM

IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Kebanyakan petugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terlibat dalam sambutan di Krismas di bangunan kementerian itu di Putrajaya baru-baru ini sebagaimana yang ditularkan, adalah mereka yang beragama Kristian.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata ramai yang membuat persembahan termasuk nyanyian “Jingle Bells” adalah dari Sabah, yang berketurunan Kadazan selain petugas dari Sarawak.

Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa meraikan kepelbagaian sambil memupuk semangat muhibah yang selari dengan aspirasi MADANI menekankan keharmonian, perpaduan, dan kestabilan masyarakat sebagai tiga kunci utama kejayaan negara.

“Video yang tular baru-baru ini menunjukkan kakitangan KPKT menyanyikan lagu Krismas. Ini mencerminkan semangat hormat-menghormati dan keharmonian di antara petugas kami, yang menjadi prinsip asas sebuah kerajaan yang baik.

“Kami menghormati umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan pada masa sama menghormati warga Kristian dalam menyambut Krismas. Hormat dan ihsan adalah dua prinsip utama yang menjadi tunjang pentadbiran kami,” katanya selepas merasmikan program Sentuhan KPKT 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemuda PAS yang menganggap tindakan Nga secara terbuka menganjurkan sambutan Krismas di pejabat kerajaan dan melibatkan penyertaan umat Islam sebagai tidak wajar.

Sementara itu Nga menasihati Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menghormati bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan pemilikan sijil halal.

Beliau berkata Jemaah Menteri sebelum ini membuat ketetapan iaitu kerajaan hanya menggalakkan pengusaha perniagaan berasaskan makanan dan minuman untuk memohon sijil halal tanpa sebarang paksaan.

“Saya tegaskan tidak boleh paksa (mendapatkan sijil halal), kita (cuma) menggalakkan. Saya nasihatkan PBT harus hormati, minta nasihat daripada JAKIM,” katanya.

Nga mengulas langkah kerajaan negeri Kelantan yang mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan