BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perdasama Terus Mainkan Peranan Majukan Usahawan Bumiputera

28/12/2024 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) akan terus memainkan peranan sebagai pelengkap dan jambatan penghubung antara kerajaan dan usahawan bumiputera.

Presidennya Mohd Azamanizam Baharon berkata Perdasama yang kini mempunyai 27,263 ahli seluruh negara, sentiasa menyokong serta menjayakan segala perancangan dan gagasan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau pusat, demi memperkasakan usahawan bumiputera.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan sentiasa melibatkan badan atau persatuan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka dasar khususnya berkaitan bumiputera, demi memastikan pelaksanaan yang lebih komprehensif menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

“Kita harap penyertaan Perdasama dan rakan-rakan NGO Bumiputera yang lain dapat dilibatkan dalam merangka dan menentukan polisi-polisi kerajaan.

“Ini yang ingin kami bawa pada 2025, harapnya ada wakil kerajaan dapat hadir dalam mesyuarat yang melibatkan agenda Bumiputera ini,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-26 Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), di sini hari ini.

Mengenai mesyuarat hari ini, Mohd Azamanizam berkata Perdasama mencadangkan agar skim bantuan atau geran oleh kerajaan diteruskan, khususnya kepada syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri teknologi tinggi, tenaga diperbaharui dan perniagaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, beliau berkata Perdasama akan berusaha mengembangkan prospek pasaran ahli-ahli mereka ke peringkat lebih tinggi dan memanfaatkan peluang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun hadapan.

“Pasaran domestik sebenarnya kita kena ada fokus di peringkat ASEAN, apatah lagi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, jadi inilah masa dan ruang untuk Perdasama bersama dengan kerajaan,” katanya .

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan