MUAN (Korea Selatan), 30 Dis (Bernama-Yonhap) – Setakat ini, mayat 141 daripada 179 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Jeju Air minggu ini telah dikenalpasti, lapor agensi berita Yonhap memetik Kementerian Tanah pada Isnin.
Semasa taklimat kepada keluarga mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan yang terletak 288 kilometer ke selatan Seoul, kementerian memaklumkan semua 179 mayat telah dipindahkan ke sebuah bilik mayat sementara.
"Kami akan menghubungi keluarga mangsa sebaik sahaja bedah siasat selesai dilakukan oleh agensi penyiasat, " kata seorang pegawai.
Barangan milik mangsa sedang dikumpulkan daripada lokasi nahas.
Tapak kejadian akan dipelihara sementara siasatan pihak berkuasa mengenai punca nahas dijalankan.
Semua bandar utama dan wilayah di Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk membuka altar peringatan bersama bagi mangsa pada hari terbabit.
Kerajaan tempatan Gwangju dan Wilayah Jeolla Selatan, yang kehilangan 157 penduduknya dalam nahas itu akan menubuhkan sekurang-kurangnya tiga altar termasuk di Dataran Demokrasi 18 Mei, bangunan kerajaan Wilayah Jeolla Selatan, dan kompleks sukan di Muan.
Altar itu akan dibuka hingga akhir tempoh berkabung negara selama tujuh hari pada Sabtu.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial