BELANJAWAN 2025 > BERITA

DUN Melaka Lulus Bajet 2025 Hari Ini

30/12/2024 05:55 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan Bajet 2025 negeri itu yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Jumaat lepas.

Bajet 2025 Melaka berjumlah RM585.7 juta yang bertemakan Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang diluluskan selepas 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong, dua ADUN berkecuali manakala dua ADUN tidak hadir.

Sebanyak 16 ADUN mengambil bahagian membahaskan Bajet 2025 pada sidang DUN hari ini sebelum sesi penggulungan oleh Ab Rauf.

Jumaat lepas, Ab Rauf dilaporkan berkata bajet berjumlah RM585.7 juta itu merangkumi anggaran Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM497.7 juta manakala anggaran Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak RM88 juta.

Beliau dipetik sebagai berkata Bajet 2025 berlandaskan tiga agenda utama iaitu Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing, Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti.

Beliau berkata Bajet 2025 akan dilaksanakan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio Exco dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan