BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerja Kajian, Reka Bentuk Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua Dimulakan

03/01/2025 02:46 PM

BUKIT MERTAJAM, 3 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja kajian dan reka bentuk bagi projek Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua, di sini telah dimulakan oleh agensi pelaksana yang dijangka mengambil masa setahun.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelaksanaan secara fizikal projek penyuraian trafik Juru–Sungai Dua itu akan dijalankan selepas agensi pelaksana menyelesaikan kerja-kerja kajian dan reka bentuk berkenaan.

"Lazimnya ia mula dengan kerja-kerja kajian dan reka bentuk yang perlu ambil masa sekurang-kurangnya setahun, pada peringkat ini, agensi pelaksanaan sudah mula menjalankan kerja.

"Saya difahamkan peruntukan untuk projek itu disediakan tahun ini termasuk bagi kerja-kerja perunding," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 2025 melibatkan 24 individu di Menara Bandaraya MBSP.

Chow berkata pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun melibatkan peruntukan yang akan disediakan pada tahun ini.

"Kalau dahulu dinyatakan peruntukan projek itu RM2.7 bilion, tetapi (sekarang) kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Kerja Raya dan bagi projek itu, mungkin yang terlibat ialah PLUS (PLUS Malaysia Berhad) kerana ia berlaku di Lebuhraya Utara Selatan.

"Projek-projek besar, seperti Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua dan Projek Air Perak Pulau Pinang yang saya usahakan semua jadi kenyataan dan ambil masa beberapa tahun untuk dilaksanakan … ia mendapat kelulusan serta dimulakan berperingkat," katanya dan menambah semua projek terbabit untuk kepentingan rakyat.

Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan oleh Anwar dalam Bajet 2025 pada 18 Okt lepas selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Chow sebelum ini dilaporkan berkata projek Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua yang dijangka dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta (PPP) dan PLUS Malaysia Berhad serta Unit Perkongsian Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi berkaitan kini sedang diteliti.

Chow turut meminta kerajaan Persekutuan melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua kerana keadaan trafik semakin mendesak, yang dibangkitkannya semasa taklimat mengenai pembangunan Pulau Pinang April lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan