BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelantikan Duncan Tepat, Era Baharu Prestasi Harimau Malaya - Pakar

03/01/2025 05:39 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif 

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) --Pelantikan saintis sukan dari Australia, Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan dilihat sebagai langkah strategik dalam menangani isu ketidakstabilan prestasi skuad Harimau Malaya.

Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, menyifatkan keputusan itu sebagai tepat pada masanya, memandangkan prestasi pasukan negara kebelakangan ini sering menunjukkan pola “yo-yo” yang tidak konsisten.

“Pelantikan Duncan bertepatan dengan masa sekarang dan keperluan untuk transformasi dalam pasukan. Jadi kalau ikut berdasarkan pengalaman dalam sains sukan dan analisis prestasi, beliau (Duncan) boleh dikatakan berpengalaman.

“Saya berharap beliau dapat mencadangkan penyelesaian kepada punca ketidakstabilan prestasi pemain. Fokus utama termasuk beban latihan, rehat mencukupi, pemakanan yang sesuai dan aspek psikologi pemain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada masa yang sama, Mohamad Nizam menekankan keperluan untuk merangka program pengurusan beban latihan yang sistematik.

Menurutnya ia bertujuan memastikan pemain mampu mencapai prestasi puncak pada waktu yang tepat tanpa risiko keletihan atau penurunan prestasi ketika pertandingan berlangsung.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan mengurangkan risiko kecederaan yang sering menjejaskan konsistensi pasukan serta pemantauan prestasi pemain secara berterusan dan aspek psikologi dan pembangunan jangka panjang.

“Diharapkan Duncan dapat merancang program latihan berstruktur berdasarkan keperluan fisiologi dan keupayaan pemain, selain mengurangkan risiko kecederaan,” kata beliau, yang pernah menjawat Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC dari 2021 hingga 2023.

Beliau turut menekankan kepentingan sikap terbuka semua pihak khususnya pemain terhadap perubahan yang bakal diperkenalkan dalam pasukan.

Sementara itu, Profesor Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohar Kassim percaya kehadiran Duncan mampu memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara.

Presiden Persatuan Pendidikan Jasmani Malaysia itu berkata pendekatan saintifik yang bakal diterapkan tidak hanya memberikan manfaat besar kepada pemain malah turut menjadi panduan bagi mereka yang bercita-cita menjadi jurulatih selepas bersara.

Beliau berkata pendedahan kepada teknik penilaian prestasi seperti pengukuran daya tahan kardiovaskular, kelajuan, kepantasan dan kekuatan otot akan melengkapkan pemain dengan pemahaman mendalam tentang keperluan fisiologi bola sepak.

“Melalui latihan profesional, pemain akan belajar membina sistem tenaga untuk bermain lebih daripada 90 minit, bahkan hingga 120 minit. Proses ‘transfer of learning’ ini akan memberikan impak besar kepada bola sepak negara secara keseluruhan,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan bola sepak negara memerlukan pengurusan yang profesional, kepimpinan yang mantap serta bebas daripada pengaruh  politik.

“Jika tiga faktor ini dapat diatasi, saya yakin Harimau Malaya berpotensi untuk kembali menjadi gergasi, bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi juga Asia, seperti era kegemilangan terdahulu,” tegasnya.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan yang merupakan salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Bulan lepas, FAM mengumumkan pelanttikan Peter Cklamovski dari Australia dan Mohd Nafuzi Zain masing-masing sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.

Bekas pemain kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend dilantik  sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan