BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inisiatif Berani Diperlukan Pulih Hubungan AS-China, Kata Pakar

05/01/2025 07:50 PM

NEW YORK, 4 Jan (Bernama-Xinhua) -- Inisiatif berani dan berfikiran ke hadapan diperlukan untuk memulihkan hubungan Amerika Syarikat (AS)-China, kata seorang pakar hubungan antarabangsa terkenal, yang menyifatkan hubungan itu sebagai "paling penting" di dunia.

"China dan AS bersama-sama merangkumi kira-kira 43 peratus daripada ekonomi dunia ... Pertaruhannya terlalu besar untuk kita meneruskan jalan konfrontasi ini," kata Sarwar Kashmeri, hos Polaris-Live.com, saluran Internet terkenal yang dikhaskan untuk memperbaiki hubungan AS-China kepada Xinhua dalam satu temu bual baru-baru ini.

Temu bual itu bertepatan dengan penerbitan Telegram IV Kashmeri mengenai hubungan AS-China, edisi khas siri tahunannya yang menyusun cadangan praktikal untuk memperbaiki hubungan dua hala, berdasarkan perbincangannya dengan pakar global di platform Polaris-Live miliknya.

Kashmeri, seorang felo di Foreign Policy Association yang berpangkalan di New York City, menekankan kepentingan hubungan AS-China.

"Saya akan menggesa AS dan China untuk berfikir dengan berani dan berfikir secara berbeza. Itulah cara ke hadapan," kata Kashmeri, sambil menambah bahawa beliau berharap laporan terbaharunya akan "menggerakkan perubahan dan memberikan impak positif."

Kashmeri berkata beliau percaya dengan inisiatif peringkat tinggi dan saluran komunikasi yang betul, China dan Amerika Syarikat boleh mengubah naratif daripada konfrontasi kepada kerjasama.

"Ia memerlukan sedikit kesabaran dan pemikiran yang berani, tetapi saya yakin akhirnya orang yang waras di kedua-dua pihak akan mencapai kesimpulan yang wajar," katanya.

Antara cadangan utama Kashmeri untuk memulihkan hubungan itu ialah meningkatkan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara, yang dibandingkannya dengan lawatan bersejarah Presiden AS Richard Nixon ke China pada 1972.

Kashmeri menyambut baik pengumuman Presiden China Xi Jinping untuk menjemput 50,000 anak muda AS ke China bagi menyertai program pertukaran dan pengajian dalam tempoh lima tahun, dan menggesa Amerika Syarikat untuk membalas dengan mengalu-alukan lebih ramai pelajar dan cendekiawan China.

"Kita perlu mendapatkan lebih ramai rakyat Amerika belajar di China dan lebih ramai pelajar China datang ke AS," kata Kashmeri seperti dilaporkan Xinhua. "Semakin banyak kita boleh memupuk persefahaman  bersama dan hubungan peribadi, semakin baik."

Selain itu, Kashmeri turut menyerlahkan kejayaan projek dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dengan menyatakan bahawa walaupun projek multinasional besar sering menghadapi cabaran, China dan rakan kongsi BRI telah berjaya mengharungi rintangan, yang disifatkannya sebagai pencapaian besar.

BRI, yang dicadangkan oleh Xi pada 2013 kini menyaksikan lebih 150 negara dan 30 organisasi antarabangsa menandatangani perjanjian kerjasama, merangkumi Eurasia, Afrika dan Amerika Latin.

"Saya berhasrat untuk melawat beberapa projek besar BRI, termasuk Pelabuhan Chancay di Peru, yang telah berjaya dengan cemerlang.

"Apa yang menarik minat saya ialah mana-mana projek multinasional besar boleh menghadapi masalah, tetapi China dan rakan kongsi BRI setakat ini dapat menyelesaikan masalah mereka. Dan saya rasa itu satu kelebihan besar," kata Kashmeri.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan