KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Perubahan beberapa pasangan beregu wanita ternama dunia dilihat mengundang bahaya kepada wakil negara pada Terbuka Malaysia 2025 yang bermula esok hingga Ahad ini di Axiata Arena, di sini.
Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata situasi itu ternyata merumitkan buat pihaknya untuk meneliti gaya permainan gandingan baharu pada kejohanan pembuka tirai 2025 bertaraf Super 1000 tersebut.
“Kita tiada data (pasangan baharu) jadi ia sangat rumit. Sebelum ini, kita sudah ada data dan tahu bagaimana permainan itu, jadi kita masuk ke kawasan tersebut.
“Sekarang, kita perlu memulakan semuanya dari awal kerana banyak pasangan baharu dan persekitaran yang berbeza untuk kategori beregu wanita,” katanya kepada pemberita pada sesi ujian gelanggang di sini, hari ini.
Antara gandingan baharu dibentuk kali ini adalah dua wakil Jepun Misaki Matsutomo-Chiharu Shida dan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan serta pasangan Indonesia Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Dalam pada itu, Rosman meletakkan sasaran kepada beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir memandangkan mereka belum pernah mara sejauh itu pada Terbuka Malaysia sebelum ini.
“Mahu melepasi pusingan pertama dan kedua agak mencabar, namun saya harap mereka dapat memberikan persembahan terbaik untuk mencapai tahap yang setinggi mungkin,” katanya.
Pearly-Thinaah dijangka membuat perhitungan dengan Lanny-Siti Fadia pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2025.
Rosman pada masa sama juga berharap pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting menimba pengalaman berguna pada penampilan pertama mereka di Terbuka Malaysia 2025 walaupun jurang permainan mereka masih jauh dengan gandingan lain.
Xin Yee-Carmen yang merupakan pasangan ke-125 dunia akan berdepan tugas getir menentang pasangan ke-22 dunia Shuo Yun Sung-Chien Hui Yu dari Taiwan pada pusingan awal.
Sementara itu, Xin Yee, yang menganggap mereka sebagai ‘underdog’ memiliki misi untuk membuat kejutan ke atas lawan mereka dari Taiwan dan mara ke pusingan kedua.
Pemain berusia 18 tahun itu juga menamakan Pearly-Thinaah sebagai idola mereka selain mengagumi semangat juang tinggi dimiliki pasangan keenam dunia itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial