BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perdana Menteri Jepun Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

10/01/2025 10:57 AM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.

Ini adalah lawatan pertama Ishiba ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Oktober 2024. Beliau disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai oleh Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,  Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan. 

Ishiba, kemudian menandatangani buku pelawat sebelum bertemu Anwar. 

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar dan Ishiba dijangka meneliti semula kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia serta kerjasama dalam bidang tenaga.

Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk situasi di Timur Tengah

Jepun ialah rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.

Projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.

Jepun juga adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (US$34.41 billion) pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan