BELANJAWAN 2025 > BERITA

Raja Permaisuri Perak Berkenan Lancar Buku "Women In Energy"

10/01/2025 12:11 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan melancarkan buku "Women in Energy".

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira pukul 9 pagi disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi Datuk Dr. Yatimah Sarjiman.

Turut hadir, ialah Pengerusi Yayasan Seri Nurul Izzah Anwar.

Buku yang bertajuk "Women in Energy: Pioneers, Innovators and Change Makers in Malaysia" itu bertujuan untuk meraikan sumbangan wanita dalam membentuk peralihan tenaga di Malaysia.

Pelancaran ini dianjurkan oleh MyWiE (Malaysia Women in Energy), sebuah kumpulan advokasi yang memperjuangkan peluang saksama untuk wanita dalam sektor tenaga.

Yatimah, dalam ucapannya menekankan bahawa peralihan tenaga memberikan peluang unik bagi wanita untuk memimpin dan membentuk masa depan.

Merujuk kepada World Bank's Energy Progress Report 2021, Yatimah berkata wanita merangkumi 32 peratus daripada tenaga kerja tenaga boleh diperbaharui di peringkat global berbanding 22 peratus dalam sektor minyak dan gas.

"Walaupun angka-angka ini menunjukkan kemajuan, ia juga menekankan keperluan untuk tindakan berterusan," katanya.

Beliau berkata inisiatif seperti MyWiE, bersama dasar-dasar nasional yang mempromosikan kesaksamaan jantina, adalah penting untuk memastikan peluang dalam landskap yang berkembang ini dapat diakses oleh semua.

Yatimah berkata kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku ini menyerlahkan pelbagai peranan yang dimainkan oleh wanita sebagai jurutera, pencipta, pembuat dasar, dan penyokong erta sumbangan penting mereka dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga.

"Kisah-kisah ini menegaskan bahawa kepelbagaian bukan sahaja keperluan moral, tetapi juga kelebihan strategik dalam memacu inovasi dan mencapai pertumbuhan yang mampan," katanya.

Buku tersebut menampilkan 25 pemimpin wanita yang menginspirasi dalam pelbagai rantaian nilai sektor tenaga.

Ia juga menonjolkan MyWiE sebagai platform penting dalam memperjuangkan kepelbagaian dan penyertaan wanita dalam sektor tenaga.

Buku ini turut disokong oleh Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Petronas Leading Women Network (PLWN), dan Shell Women Action Network (SWAN).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan