BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kertas Sejarah SPM Didakwa Bocor: KPM Akan Ambil Tindakan Undang-undang - Wong

10/01/2025 04:02 PM

IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu berhubung kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi subjek Sejarah.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

“Saya nak ingatkan pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini bahawa anda sedang dipantau oleh KPM dan pihak terlibat.

“Sekiranya perkara ini terbukti, maka anda perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Program Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Sam Tet di sini hari ini.

Semalam, KPM menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah susulan tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk ramalan dalam buku teks subjek berkenaan.

Justeru, KPM dalam kenyataan sama menegaskan dakwaan itu tidak menepati definisi kebocoran mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sementara itu, Wong berkata pihaknya komited memastikan peperiksaan SPM pada tahun ini dilaksanakan secara adil selain mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak RM791 juta diperuntukkan bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan diagihkan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6 pelbagai aliran di seluruh negara.

“Jumlah pada tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas yang dicatatkan sekitar RM788 juta. Peningkatan ini juga mengambil kira dari sudut pemberian BAP yang dibuka kepada pelajar tingkatan enam pelbagai aliran di seluruh negara,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan