BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sekolah Digital Bentuk Pelajar Celik Teknologi, Lindung Daripada Ancaman Siber

12/01/2025 02:48 PM

Oleh Habsah Ismail

BACHOK, 12 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan sekolah digital dijangka merevolusikan sistem pendidikan negara dengan melahirkan pelajar celik teknologi dan melindungi mereka daripada ancaman siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Impressive Communication Sdn Bhd Tan Sri Abdul Halim Karim berkata sebagai syarikat yang menyediakan kelengkapan telekomunikasi dan Internet, pihaknya komited untuk meningkatkan kesedaran golongan muda tentang penggunaan teknologi digital di sekolah.

“Pelaksanaan sekolah digital sejajar dengan perkembangan semasa iaitu murid dan pelajar kini lebih terdedah kepada dunia digital terutama media sosial seperti Facebook, TikTok, dan Instagram. 

"Perubahan ini satu langkah positif, oleh itu pengurusan sistem pembelajaran juga perlu diubah untuk mengikut arus zaman,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Halim berkata pelaksanaan sekolah digital mampu membentuk akhlak pelajar dengan mengurangkan risiko terlibat dalam aktiviti jenayah dalam talian seperti penipuan siber.

Selain itu, membuka peluang kepada pelajar terutamanya yang berada di luar bandar untuk mempelajari teknologi digital dengan lebih mendalam.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol menjadi sekolah digital perintis dan kami menyumbang lebih RM16,000 untuk memastikan projek ini terlaksana dengan jayanya. Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada sekolah lain,” tambahnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pak Badol Noor Ashiqin Abdullah berkata pelaksanaan sekolah digital di sekolah berkenaan selaras Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, tahun lepas. 

Noor Ashiqin berkata pihak sekolah berusaha menjadikan lebih ramai murid fasih dalam penggunaan teknologi dengan cara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

“Sekolah ini telah menyediakan enam bilik khas untuk program ini, termasuk bilik reka bentuk dan teknologi, bilik sains, makmal komputer, pusat sumber serta dua kelas yang akan dijadikan kelas digital untuk sesi 2025 dan seterusnya,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan