BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejayaan Koperasi Sekolah Malaysia, ANGKASA Mahu Kongsi Sumber Dan Kepakaran

12/01/2025 08:27 PM

BUTTERWORTH, 12 Jan (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) melihat potensi luas untuk meningkatkan perkongsian sumber dan kepakaran dengan koperasi di ASEAN dan Asia, khususnya membabitkan model koperasi sekolah susulan kejayaan koperasi sekolah di negara ini.

Presidennya Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata 37 koperasi sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) meliputi 19 sekolah harian, kolej vokasional dan sekolah agama serta 18 koperasi sekolah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya membuktikan kejayaan masing-masing dengan mencatatkan perolehan lebih RM1 juta, dengan sebuah koperasi mencapai RM2 juta.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN  (ACO) berkata kejayaan itu menjadi model kepada masyarakat antarabangsa untuk turut membangunkan koperasi sekolah di negara masing-masing.

“Sebagai contoh, di Kemboja dua koperasi sekolah berjaya ditubuhkan iaitu Norol Iman High School Cooperative dan An-Nikmah School Cooperative. 

“Ini merupakan satu kebanggaan kerana tanpa usaha berterusan daripada guru dan pelajar, kejayaan seperti ini tidak mungkin dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau percaya sekiranya lebih banyak koperasi sekolah ditubuhkan di luar negara, ia dapat membuka peluang kepada kerjasama strategik dan perniagaan serantau antara koperasi. 

Selain itu, beliau berkata ia juga berupaya meningkatkan kemahiran keusahawanan koperasi dalam kalangan pelajar melalui pengalaman perniagaan rentas negara, seterusnya menyumbang kepada peningkatan perolehan koperasi sekolah di masa hadapan.

Dalam pada itu, Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pacific (ICA-AP) menyeru pihak koperasi sekolah di seluruh negara memainkan peranan aktif dalam menyemarakkan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.

Beliau berkata ia bertepatan dengan tema IYC 2025 iaitu ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat’, yang menekankan koperasi sekolah sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda bukan sahaja celik koperasi tetapi juga bersedia menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan global.

Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Tahun Koperasi Antarabangsa dan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Anugerah Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dan Ikon Muda Koperator Sekolah 2024 Peringkat Kebangsaan ‘Koperasi Sekolah Pemangkin Generasi MADANI’ di sini, hari ini.

Sebanyak 360 guru dan pelajar melibatkan 300 koperasi sekolah diraikan pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas. 

Lebih 20 anugerah disampaikan termasuk AKKS 2024 Peringkat Kebangsaan; Anugerah PKS 2024 Peringkat Kebangsaan; Anugerah Ikon Muda Koperator Sekolah Terbaik 2024 Peringkat Kebangsaan dan Pertandingan Produk Kreatif Koperasi Sekolah Terbaik 2024 Peringkat Kebangsaan.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan