BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perjanjian CEPA Malaysia-UAE Buka Peluang Baharu Perdagangan, Kerjasama Ekonomi - Anwar

14/01/2025 04:08 PM

Oleh Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di ADNEC Center, di sini.

Terdahulu, Anwar yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke UAE mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE ITU.

Perdana Menteri kemudian bersama-sama beberapa pemimpin dunia menghadiri majlis perasmian Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) 2025 yang disempurnakan Sheikh Mohamed. 

Anwar menerusi satu kenyataan berkata beliau mengalu-alukan pemeteraian perjanjian antara kedua-dua negara itu. 

Beliau berkata sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), perjanjian itu dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh bukan sahaja antara Malaysia dan UAE malah merangkumi juga dengan negara Teluk yang lain.

“MY-UAE CEPA akan membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, termasuk penghapusan/pengurangan tarif dan peningkatan akses pasaran, yang bakal memacu eksport dan mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi sektor utama,” kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan