BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Komited Tingkatkan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Patuh Syariah - Dzulkefly

14/01/2025 08:21 PM

BANGI, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan komited untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah bagi memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pesakit, terutamanya umat Islam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata konsep patuh syariah merangkumi bukan sahaja perkhidmatan kesihatan dan kemudahan, tetapi juga alat perubatan dan farmaseutikal sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam penjenamaan nilai patuh syariah.

“Ini yang kita mahu tingkatkan supaya ia menjadi satu nilai tambah yang baik yang dicari khususnya oleh para Muslim yang ingin mendaftar dan menjadi pelanggan perkhidmatan ini. 

“Patuh syariah ialah semua yang berkaitan kesejahteraan keseluruhan masyarakat. Ia melibatkan perkhidmatan berkualiti yang berpatutan, selamat dan berkesan. Nilai tambah khas ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata pendekatan holistik ini telah mendapat permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelancong kesihatan dan pelancong dari negara-negara majoriti Muslim.

“Kita perhatikan juga, kebelakangan ini, di bawah Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), terdapat peningkatan minat daripada pesakit antarabangsa terutama dari Asia Barat, yang secara khusus mencari perkhidmatan patuh syariah," katanya.

Berdasarkan data yang dikongsi, beliau berkata 35 peratus daripada hospital di bawah Kementerian Kesihatan (54 hospital) adalah bertaraf atau disahkan sebagai Hospital Mesra Ibadah.

 Usaha sedang dijalankan untuk memperluas pensijilan ini kepada lebih banyak hospital kerajaan dan swasta bagi menarik pelancong kesihatan, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Dzulkefly berkata penjagaan kesihatan berteraskan syariah bukanlah sesuatu yang baharu dan ia berakar dalam sejarah Islam.

“Saya dimaklumkan yang KMI Healthcare, salah satu penganjur simposium hari ini, turut menyediakan perkhidmatan hospital mesra ibadah. 

“Beberapa hospital juga telah menerima pakai dan melaksanakan MS ISO 1900: 2014 iaitu Standard Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah dalam pengurusan hospital, selain memenuhi keperluan pesakit Muslim, usaha ini juga menjadikan Malaysia sebagai model global dalam penjagaan kesihatan berteraskan syariah,” katanya.

Sementara itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menyatakan komitmen bagi pembangunan nilai-nilai syariah dalam bidang penjagaan kesihatan menerusi simposium itu. 

Simposium berkenaan merupakan kesinambungan projek penyelidikan melibatkan IKIM dan UTP bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berhubung 'Rangka Kerja Standard Perkhidmatan Perubatan Islamik Patuh Syariah untuk Penyedia Perkhidmatan Kesihatan di Malaysia,'.

Turut hadir Pengerusi IKIM Profesor Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Naib Canselor UTP Profesor Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd Dr. Rayney Azmi Ali.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan