BELANJAWAN 2025 > BERITA

BMI Unjur Ekonomi Malaysia 2024 Berdaya Tahan Pada 5.0 Peratus

14/01/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- BMI, syarikat Fitch Solutions, mengunjurkan ekonomi Malaysia pada 2024 berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar 5.0 peratus, disokong oleh pelaburan dan penggunaan yang kukuh.

Penganalisis Risiko Negara BMI Caroline Wong berkata walaupun pertumbuhan KDNK Malaysia diunjurkan sedikit menurun kepada 4.7 peratus pada 2025 namun prestasi itu akan masih sejajar dengan tempoh sebelum pandemik.

“Pemacu utama prospek ini termasuk pelaburan yang kukuh dan penggunaan berdaya tahan, meskipun terdapat kemungkinan tekanan inflasi akibat penarikan subsidi yang akan datang,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada webinar BMI bertajuk “Asia Macroeconomic Update: Elevated Uncertainty for 2025 Economic Outlook Amid Political and Fiscal Challenges”.

Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai kesan tarif baharu di bawah pentadbiran Presiden yang dipilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump namun, kesan positif dan negatifnya adalah dijangka ke atas Malaysia, katanya.

“Walaupun keadaan peralihan dasar perlindungan masih belum jelas, kami berpandangan pelaksanaan tarif baharu akan menumpukan kepada barangan perkilangan dan perindustrian.

“Malaysia tidak akan terkecuali daripada perkara ini memandangkan eksport ke AS adalah kira-kira 11.4 peratus daripada KDNK negara,” katanya.

Wong berkata potensi tarif dikenakan Trump ke atas China dijangka memberikan manfaat kepada Malaysia kerana kalangan syarikat China mungkin aktif untuk cuba memindahkan pelaburan masing-masing, dan Malaysia boleh meraih manfaat daripadanya.

Beliau berkata mengenai semikonduktor, BMI kekal optimik terhadap momentum industri semikonduktor Malaysia memandangkan setiap kitaran meningkat semikonduktor dapat bertahan sekitar 15 hingga 18 bulan.

Bagaimanapun, potensi penurunan aktiviti ekonomi di pasaran utama seperti AS dan China dijangka memberi tekanan kepada permintaan global.

“Ketika kami menekankan kemungkinan pengenaan tarif Trump ke atas China berpotensi menyebabkan syarikat China memindahkan operasi ke Malaysia, dan Malaysia boleh meraih manfaat menerusi penglibatan dalam bahagian pembuatan yang lebih bernilai tambah, yang kami berpendapat akan menjadi dorongan positif kepada Malaysia,” katanya.

Mengenai prospek serantau, Ketua Risiko Negara bagi Asia Darren Tay berkata Asia diunjurkan mengekalkan pertumbuhan stabil dan kekal sebagai rantau yang paling pantas berkembang dari segi pertumbuhan ekonomi, pada kira-kira 4.0 peratus bagi 2025.

Beliau berkata jika dasar Trump menaikkan inflasi di AS dan menyekat keupayaan Rizab Persekutuan AS untuk melonggarkan dasar monetari, keadaan itu akan mengehadkan pelonggaran monetari yang dijangkakan di Asia.

“Inflasi yang rendah dan prospek pertumbuhan kukuh memberikan ruang dasar yang luas untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada paras semasa untuk sepanjang 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan