BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perlu Kerangka Komprehensif Tangani Ucapan Kebencian, Pelihara Perpaduan - Pakar

15/01/2025 12:07 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Seorang pakar penyelidik dari Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) berkata rangka kerja komprehensif diperlukan untuk menangani isu ucapan kebencian bagi memupuk masyarakat inklusif dan mengekang ancaman itu menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Dr Murni Wan Mohd Nor menyuarakan perkara itu dalam bukunya setebal 91 muka surat bertajuk “From Hate to Hope: A Holistic Approach to Address Hate Speech” yang bakal dilancarkan pada 17 Jan.

Beliau berkata kini terdapat banyak kekeliruan berhubung ucapan kebencian yang mencetuskan masalah bukan hanya kepada masyarakat malah pegawai penguat kuasa termasuk polis juga sukar untuk "menentukan apakah yang bersifat kebencian dan apa yang tidak."

"Jika kita tidak menetapkan definisi untuk ucapan kebencian maka apa sahaja dan segala yang diucapkan mahupun ditulis mungkin dianggap sebagai sesuatu yang menyinggung perasaan," katanya pada program "The Nation" Bernama TV semalam.

Murni yang juga pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia berkata orang ramai boleh mendapatkan buku itu di laman web IDFR dalam format PDF selepas pelancaran pada Jumaat. 

Buku itu bakal dilancarkan oleh IDFR, agensi di bawah Kementerian Luar Negeri.

Berhubung soalan diajukan hos program Gerard Ratnam, beliau berkata berdasarkan temu bual dengan Polis Diraja Malaysia, mereka turut berkongsi pengalaman serta cabaran dalam penguatkuasaan berikutan kekurangan rangka kerja komprehensif untuk menangani isu berkenaan. 

“Kadangkala mereka (polis) tidak boleh mengambil tindakan berhubung dengan perkara tertentu  melainkan ia jelas melanggar undang-undang tertentu seperti Akta Komunikasi dan Multimedia atau Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Murni berkata mempunyai undang-undang khusus mengenai ucapan kebencian bukan bermakna untuk lebih membataskan kebebasan bersuara.

“Kita bukanlah mahu menghukum semua orang hanya kerana mengatakan perkara yang sedikit menyinggung perasaan tetapi penting untuk mempunyai rangka kerja perundangan yang sesuai bagi menangani masalah berkenaan dan inilah apa yang cuba diketengahkan dalam buku itu.

Tanpa rangka kerja komprehensif, beliau mempersoalkan sama ada "kebebasan akademik membenarkan kami bercakap atau berbincang tentang perkara tertentu atau sama ada media yang akan bertanggungjawab untuk beberapa perkara penting yang kami katakan walaupun ia demi kebenaran dan sebagainya."

Beliau memuji kerajaan yang giat berusaha melindungi ucapan kebencian melalui penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian dan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang bertujuan melindungi individu daripada kandungan berbahaya.

Namun, tidak mampu melakukannya bersendirian maka buku itu mengutarakan kepentingan pendekatan seluruh negara dan holistik dan seluruh negara, bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain untuk memerangi ancaman itu, termasuk diplomatik, strategi komunikasi berkesan dan inisiatif counterspeech.

Beliau berkata nilai-nilai yang diketengahkan dalam buku itu juga selaras tema "Kepengerusian ASEAN Malaysia iaitu keterangkuman dan kemampanan dan bagaimana boleh muncul sebagai sebuah negara dan rantau yang maju."

"Andai kita terus membiarkan ucapan kebencian menjejaskan kehidupan maka apa sahaja kemajuan yang kita capai tidak akan dapat dikekalkan," kata Murni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan