BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tengku Permaisuri Selangor Berkenan Lancar Buku ‘TELEPUK, Forgotten Flowers Of Gold’

15/01/2025 02:53 PM

SHAH ALAM, 15 Jan (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan buku TELEPUK, Forgotten Flowers of Gold di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 10 pagi itu disambut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad dan Pengasas Pergerakan Langkasuka serta Penerbit Buku Telepuk Abdul Razak Aziz.

Baginda kemudiannya berkenaan melawat pameran barangan yang digunakan untuk membuat telepuk serta melihat demonstrasi penghasilan hasil seni berkenaan sebelum ke majlis santapan ringan.

Sementara itu, Abdul Razak dalam sembah ucapannya berkata Pergerakan Langkasuka menjadi perantara serta rakan solusi untuk menyelidik, mendokumentasi serta menyemarakkan kesenian warisan Melayu.  

Beliau berkata menerusi Pergerakan Langkasuka, lebih 10 judul buku diterbitkan berasaskan seni, budaya dan warisan Melayu termasuk buku yang dilancarkan hari ini yang merupakan terjemahan dari buku Bahasa Melayu berjudul ‘TELEPUK, Bunga-Bunga Emas Yang Dilupai’.

“Penerbitan buku Bahasa Inggeris ini juga telah ditambah baik dengan beberapa maklumat baharu dan penambahan artifak yang dikatalogkan,” katanya.

Seni telepuk melibatkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus, yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau perada. 

Kain telepuk dijadikan tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan yang sering dipakai untuk menghadiri majlis rasmi di istana dan sebagai pakaian istiadat perkahwinan.  

Abdul Razak berkata usaha yang dilaksanakan oleh Pergerakan Langkasuka mendapat perhatian Yayasan Hasanah yang turut menyokong usaha pemeliharaan tekstil warisan negara itu.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Allahyarham Norhaniza Noordin, pakar ukiran kayu terkemuka yang banyak berjasa menghidupkan semula seni hiasan tekstil itu. 

“Pemergian Allahyarham amat dirasai, menggegar hati dan jiwa kami terutamanya dalam kalangan mereka yang telah berguru dengan beliau. Tetapi semangat Langkasuka yang diamanatkan kepada kami tetap membara, insya-Allah,” katanya.

Tokoh Kraf Negara Norhaiza atau lebih mesra dipanggil ‘Abe Jah’ meninggal dunia pada usia 61 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Dis lepas akibat masalah jantung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan