PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang udara Malaysia mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata peningkatan jumlah penumpang itu dijangka melebihi rekod yang dicatatkan pada 2019 iaitu 109.3 juta dan mewakili pertumbuhan antara 8.4 peratus hingga 15.6 peratus tahun ke tahun.
“Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa, dan peningkatan keseluruhan pendapatan isi rumah.
“Syarikat penerbangan juga dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 15.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, dan ini didorong oleh peningkatan ketara perjalanan domestik, yang diunjurkan 21.1 peratus tahun ke tahun,” katanya pada sidang media mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi 2024 serta unjuran bagi 2025 di sini, pada Rabu.
Beliau berkata tiga rantau teratas yang dijangka mengalami pertumbuhan kapasiti tempat duduk dari Malaysia ialah Afrika, Eropah dan Asia Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial