BELANJAWAN 2025 > BERITA

Helang Kristal, Coker Batik Cenderamata Istimewa Delegasi ASEAN Di Langkawi

17/01/2025 01:40 PM

Oleh Rhoma Ahmad Razali

LANGKAWI, 17 Jan (Bernama) -- Arca helang yang diperbuat daripada kaca kristal dan coker batik menjadi cenderamata istimewa yang akan dihadiahkan kepada delegasi Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan berlangsung pada esok dan Ahad, di sini.

Kedua-dua karya seni tersebut yang menonjolkan ciri-ciri tempatan dengan keunikan tersendiri dihasilkan pengusaha kraf tempatan Kamarul Faizy Roslan dan Nor Ashikin Nor Majid.

Bagi Kamarul Faizy, 54, yang mengusahakan bengkel meniup kaca kristal di sini, beliau berasa sangat teruja dan berbangga apabila dipilih untuk menyediakan cederamata itu yang disifatkan sebagai peluang yang sukar diperoleh.

Menurutnya, walaupun menghadapi beberapa cabaran untuk menghasilkan arca helang tersebut termasuk kesuntukan masa, namun dia gembira kerana berjaya menyiapkannya.

“Atas permintaan pelanggan dan acara ASEAN ini adalah acara yang besar, sudah semestinya mereka minta yang terbaiklah, bukan yang simple. Jadi berkali-kali jugalah kami cuba buat. Sepatutnya ambil masa tiga bulan untuk siapkan semua cenderamata tapi kami kena buat dalam masa sebulan.

“Mujur kami dapat atasi masalah ini dan dapat siapkan tempahan. Daripada situ juga, kami tahu kemampuan kami, sejauh mana kami boleh buat, kalau tidak ada cabaran dan dorongan kami tidak akan dapat hasilkan produk yang berkualiti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berharap arca helang kristal yang yang menjadi ikon Langkawi itu dapat mempromosikan pulau peranginan itu selain produk kraf tempatan kepada delegasi ASEAN.

Sementara itu, pengusaha kraf aksesori Nor Ashikin pula diminta menghasilkan coker batik atau Batiq Choker untuk dijadikan sebagai cenderamata kepada isteri delegasi ASEAN sempena acara pemukiman tersebut.

Menurutnya, setiap aksesori tersebut yang diperbuat daripada batik tempatan dari beberapa negeri digubah khas untuk disesuaikan dengan karektor dan ciri-ciri yang ada pada setiap isteri delegasi.

“Kami mengambil masa yang lama untuk mendalami setiap karektor dan personaliti mereka secara individu agar coker yang dihasilkan menepati dan sesuai dengan mereka.

“Tema batik dipilih untuk kita promosikan batik Malaysia yang sebenarnya cukup unik dan cantik, jadi coker ini bukan sahaja dapat mempromosi Langkawi sebagai produk kraf dari sini tetapi juga Malaysia,” katanya.

Beliau yang mengusahakan karya seni buatan tangan rantai coker dan gelang tangan lembut di bawah jenama Ash Majid bersama suaminya Meor Ezammer Meor Ahmad Sukarno berharap karya seninya itu akan menjadi kenangan terindah kepada isteri delegasi ASEAN.

Sementara itu, Pengarah Kompleks Kraf Langkawi Farina Darus berkata pihaknya berasa bangga apabila dua pengusaha kraf dari Langkawi tersebut dipilih menghasilkan cenderamata untuk delegasi ASEAN sempena AMM.

Menurutnya, cenderamata tersebut yang dihasilkan berasaskan ciri-ciri tempatan dapat menonjolkan Langkawi dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai produk-produk kraf menarik.

“Bila usahawan kraf menghasilkan produk kraf dia akan menunjukkan ciri-ciri entiti yang terdapat pada motif-motif kraf dan keunikan kraf itu sendiri,” katanya.

--  BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan