BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bekas PM Kemboja Hun Sen Jamin Beri Sokongan Diplomatik Untuk AIPA Ke-46 Di Kuala Lumpur

17/01/2025 09:42 PM

 

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 17 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menyeru ASEAN bertindak sebagai satu blok untuk mencapai matlamat bersama sambil memberi jaminan sokongan Kerajaan Kemboja kepada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang sedang dalam misi diplomatik dua hari ke Kemboja mengadakan perbincangan pada Jumaat dengan Hun Sen, yang kini merupakan Presiden Senat.

Kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh ASEAN serta mempererat hubungan diplomatik dan perundangan antara kedua-dua negara.

“Hun Sen mahu ASEAN bertindak sebagai satu blok. Jika kita dapat bergerak sebagai blok dan bukan sebagai negara individu yang mempunyai kepentingan masing-masing, kemungkinan besar kita boleh berunding dengan lebih baik dengan pihak Eropah, Amerika atau yang lain, supaya kepentingan kita lebih dilindungi,” kata Johari kepada pemberita di Kedutaan Besar Malaysia selepas pertemuan itu.

Perbincangan turut meliputi program pertukaran pelajar untuk memperkukuh pemahaman bersama serta meraikan warisan sejarah dan budaya kedua-dua negara.

AIPA, badan parlimen serantau yang ditubuhkan pada September 1977, bertujuan mengukuhkan hubungan kukuh dalam kalangan penggubal undang-undang Asia Tenggara.

Johari, Presiden AIPA ke-46, mengulangi komitmen teguh Malaysia untuk menjayakan AIPA 2025 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September.

Beliau turut bertemu Timbalan Perdana Menteri Kemboja Neth Savoeun pada Jumaat, dengan perbincangan tertumpu kepada pembangunan isu-isu strategik serantau khususnya keamanan, keselamatan dan kemampanan ASEAN.

“Ini juga tentang membina kepercayaan, dan itulah yang sedang kita lakukan. Ia memerlukan masa, tetapi marilah kita bina kepercayaan ini.

Biasanya menjadi tradisi bagi negara tuan rumah untuk menulis surat jemputan, tetapi kali ini kami mahu melakukannya secara berbeza. Saya hadir bersama beberapa Ahli Parlimen untuk secara peribadi menjemput tetamu menghadiri AIPA. Ini menunjukkan betapa kita menghormati mereka sebagai anggota ASEAN. Kita juga berpeluang berbincang dengan kepimpinan Dewan Negara  atau Dewan Rakyat mereka,” katanya.

Sebaik tiba pada Khamis, Johari bertemu Speaker Dewan Rakyat Khuon Sudary dan membincangkan usaha memperkukuh kerjasama lebih erat dalam kalangan parlimen ASEAN, termasuk pertukaran dinamik anggota parlimen dan perkongsian pengetahuan.

Selain itu, hubungan dua hala Malaysia-Kemboja, diplomasi legislatif dalam menangani cabaran global seperti keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan transformasi digital turut dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini dan Permukiman Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung di Langkawi pada hujung minggu ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan