KUALA BERANG, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 600 kilogram (kg) daging lembu tempatan dan 400 ekor ayam habis dijual dalam tempoh sejam pada Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pasar Besar Kuala Berang di sini hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata sebanyak RM50,000 peruntukan disalurkan bagi menjayakan program perintis PJRM@Pasar di Terengganu.
Beliau berkata ia melibatkan jualan daging lembu tempatan, ayam segar, ikan dan sayur-sayuran yang dijual 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
"Sebanyak 14 peniaga di Kuala Berang menyertai PJRM@Pasar yang menyaksikan daging lembu dijual RM21 sekilo berbanding harga pasaran RM36 manakala ayam pula RM7.50 sekilo.
"Ayam segar dan daging telah habis dalam masa sejam selepas diserbu pengunjung pagi ini kerana harga yang ditawarkan sangat murah," katanya ketika ditemui di PJRM@Pasar di Pasar Besar Kuala Berang hari ini.
Dalam pada itu Saharuddin berkata KPDN Terengganu telah menganjurkan 25 siri PJRM di lapan kawasan Parlimen setakat 15 Jan lepas.
Beliau berkata ia termasuk lapan siri PJRM dalam premis dan 17 secara bergerak yang telah memanfaatkan 10,084 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM474,594.01.
"Walaupun KPDN telah memperkenalkan pendekatan baharu iaitu PJRM@Pasar dan PJRM@Kampus namun program PJRM secara bergerak, terbuka dan dalam premis masih diteruskan.
"Untuk PJRM@Pasar, kita sedang membuat penilaian untuk menentukan pasar awam yang akan terlibat dengan mengambil kira beberapa faktor," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial