BELANJAWAN 2025 > BERITA

Calon Tunggal Jawatan Presiden Bukti Keyakinan FAM - Joehari

18/01/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Datuk Joehari Mohd Ayob percaya perkhabaran positif menjadi calon tunggal menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden pada Kongres pemilihan penggal 2025-2029 sebagai tanda keyakinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada dirinya.

Beliau berkata ia sekali gus membuktikan sepenuh kepercayaan diberikan Ahli Gabungan FAM untuk beliau menjadi individu seterusnya menerajui badan induk sukan bola sepak itu yang sebelum ini merupakan Naib Presiden.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAM yang telah mencalonkan nama saya untuk jawatan Presiden FAM.

"Apa pun, kita tunggu hari Kongres FAM 2025 pada 15 Feb depan untuk formaliti saya memulakan tugas sebagai Presiden FAM bersama-sama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif lain yang akan dipilih pada hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said mengumumkan bahawa Joehari merupakan satu-satunya calon bagi kerusi nombor satu itu sehingga pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif ditutup 5.30 petang Khamis lepas. 

Senarai itu turut menyaksikan dua penyandang Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram bakal mengekalkan jawatan mereka. 

Hamidin yang merupakan penyandang Presiden FAM sejak 2018, sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan jawatan berkenaan bagi memberi laluan kepada individu baharu untuk melonjakkan persatuan itu ke tahap seterusnya.

Tujuh belas jawatan bakal dipertandingkan pada kongres FAM pada 15 Feb depan iaitu satu Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 10 Exco, termasuk dua kerusi diperuntukkan untuk wanita.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan