BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gencatan Senjata Di Gaza Bawa 'Harapan Yang Sangat Diperlukan'- IOM

20/01/2025 12:55 AM

ISTANBUL, 19 Jan (Bernama-AA) -- Agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hamas di Gaza membawa "harapan yang amat diperlukan" ketika jeda dalam pertempuran bermula pada Ahad berikutan konflik selama 15 bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Gencatan senjata di Gaza membawa harapan yang amat diperlukan, menawarkan peluang untuk menyatukan semula keluarga dan mula membina semula kehidupan yang hancur,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Amy Pope di X.

Beliau berkata skala keperluan kemanusiaan di Gaza adalah "amat besar," dan menyeru usaha yang "mendesak dan bersatu" serta sokongan berskala besar di semua peringkat.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan itu berkuat kuasa pada 0915GMT Ahad, tertangguh daripada jadual asal pada 0630GMT selepas Israel menuduh Hamas melengahkan pembebasan senarai tawanan.

Serangan tanpa henti Israel 7 Okt 2023 telah memusnahkan Gaza, dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan hampir 47,000 kematian dan lebih 110,700 kecederaan, kebanyakannya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan