BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Belgium, EU Sambut Baik Gencatan Senjata Di Gaza - Anwar

21/01/2025 02:43 AM

Daripada D.Arul Rajoo

BRUGES, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia, Belgium dan Kesatuan Eropah (EU)  menyambut baik gencatan senjata di Gaza dan berharap Israel dapat mengekalkan keamanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak berasa lega apabila terdapat kesediaan Israel dan Hamas untuk mencari pendamaian.

"Maknanya (gencatan senjata) dapat menghentikan serangan ganas, zalim Israel keatas Gaza. Bagi kita, itu kesan dia," katanya pada sidang media pada akhir lawatan dua hari beliau ke Belgium.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun isu paling penting sekarang adalah usaha membangunkan semula Gaza yang hampir musnah seperti padang jarak padang terkukur.

"Sekarang ini tanggungjawab bersama membangunkan semula Gaza, " kata beliau yang sebelum itu menyampaikan ucaptama bertajuk 'Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience' di College of Europe (COE) di sini, kira-kira 98 kilometer dari Brussels.

Perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada 11.15 pagi waktu tempatan (0915GMT) Ahad selepas kelewatan beberapa jam akibat tuduhan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan senarai tawanan yang akan dibebaskan.  

Ia pada mulanya dijadualkan bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan.  

Sejak 7 Okt 2023, hampir 47,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan lebih 110,700 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.  

Terdahulu, Anwar pada Isnin bertemu Perdana Menteri  Belgium Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan Malaysia-Belgium, meningkatkan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas yang juga Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP) sebelum disusuli pertemuan empat mata dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa.

Perdana Menteri kemudian berlepas ke Davos, Switzerland untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan berada di Davos untuk mesyuarat WEF sehingga 24 Jan bersama kira-kira 3,000 peserta termasuk 60 ketua negara dan pembuat keputusan penting yang dijangka hadir.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan