BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bakal Disenarai Di Pasaran ACE, RichTech Sasar Kumpul RM13.67 Juta Daripada IPO

21/01/2025 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan tambah nilai elektronik dan pembayaran bil, RichTech Digital Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasarkan untuk mengumpul RM13.67 juta menerusi pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Pelaksanaan IPO itu melibatkan penerbitan 54.66 juta saham baharu pada harga 25 sen sesaham, dan penyenaraian dijadualkan pada 17 Feb, 2025, menurut prospektus yang dilancarkan hari ini.

Sebanyak RM4.5 juta daripada hasil IPO itu akan dimanfaatkan untuk aktiviti pemasaran, promosi dan kerjasama untuk mengembangkan pangkalan penggunanya bagi aplikasi SRS dan Portal SRS mereka; manakala RM3 juta akan digunakan untuk pembelian pejabat baharu, menyatukan ibu pejabat RichTech dan pejabat cawangan di bawah satu bumbung. 

Selain itu, sebanyak RM3 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong peningkatkan volum transaksi digital dan pengembangan platform, manakala RM3.17 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraiaan, katanya.

Pengarah Urusan RichTech Lee Teik Keong berkata setakat 2023, jumlah pengguna platform proprietari SRS syarikat itu mencecah empat juta, dengan 98 peratus daripada merupakan pengguna korporat manakala selebihnya pengguna individu.

"Pada tahun ini, kami menjalankan usaha promosi dan pengiklanan menerusi enjin carian Google dan platform lain. Jadi kami berkemungkinan akan meraih lebih ramai pengguna menjelang hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepa pelancaran prospektus di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sasaran jumlah pengguna atau peningkatan pengguna yang dijangkakan pada tahun ini.

Platform SRS membolehkan tambah nilai elektronik untuk kredit prabayar telefon mudah alih, data, TV digital prabayar, kredit permainan, kredit aplikasi, dan dompet elektronik.

Ia juga menyokong pembayaran bil untuk perkhidmatan pascabayar telefon mudah alih, utiliti, penyelenggaraan pembetungan, TV digital, internet, cukai hartanah, dan pinjaman pendidikan.

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 202.45 juta saham biasa, RichTech dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM50.61 juta.

Menerusi terbitan 54.66 juta saham itu, 10.12 juta saham akan tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia melalui undian; 1.55 juta saham diperuntukkan untuk pengarah, kakitangan serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan; dan 42.99 juta saham untuk permohonan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Selain itu, 25.31 juta saham ditawarkan untuk jualan kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka dari hari ini dan akan ditutup pada 31 Januari 2025, pada 5 petang.

KAF Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO RichTech.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan