BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pertama Digital Lantik Lim Nasrul Halim Sebagai Pengganti CEO

21/01/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pertama Digital Bhd melantik Lim Nasrul Halim sebagai pengganti ketua pegawai eksekutifnya, berkuat kuasa hari ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Lim Nasrul membawa pengalaman hampir dua dekad sebagai ahli strategi korporat yang transformatif setelah mencapai hasil luar biasa dalam teknologi, modal teroka, ekuiti persendirian dan pengembangan jenama global kepada syarikat tersebut.

"Sepanjang 20 tahun kepimpinan korporatnya, beliau memegang peranan penting dalam pelbagai industri termasuk memimpin syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia.

"Selain itu, beliau menyumbang kepada Pusat Pembangunan Perniagaan di Singapura dan menerajui pertumbuhan untuk syarikat teknologi global serta jenama antarabangsa terkenal.

"Kebolehannya untuk melaksanakan strategi berskala besar dan mencapai pertumbuhan yang mampan menekankan kepakarannya dalam mengemudi pasaran yang kompleks, memupuk inovasi dan mencapai hasil perniagaan yang transformatif," katanya.

Sementara itu, Pertama Digital memaklumkan, dalam langkah untuk mengembangkan jejak globalnya, syarikat itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ruya Holdings Ltd, sebuah syarikat berpangkalan di Dubai untuk membangunkan bersama penyelesaian identiti dan biometrik termaju yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan.

Ia berkata kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran gabungan kedua-dua syarikat untuk menetapkan penanda aras baharu dalam teknologi digital yang selamat dan inovatif.

Selain itu, Pertama Digital berkata syarikat itu memperkenalkan penyelesaian yang disesuaikan untuk peniaga berskala kecil selain direka untuk merapatkan jurang digital dengan mempersiapkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan kritikal dan berpatutan.

"Inisiatif ini akan memberi kuasa kepada peniaga dalam segmen B40 untuk mengakses peluang dan berkembang dalam ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan