BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lapangan Terbang Pulau Pinang Rekod Peningkatan 51.43 Peratus Pelancong India

22/01/2025 04:01 PM

GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan peningkatan kedatangan pelancong dari India sebanyak 51.43 peratus pada tahun lepas, mencerminkan kejayaan strategi kerajaan negeri dalam menarik pasaran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata kerajaan negeri merekodkan 11,127 ketibaan pelancong India pada 2024, berbanding 7,348 pada tahun sebelumnya.

Wong berkata pada awal 2024, beliau mengetuai delegasi ke India untuk program jelajah ke empat bandar di India dengan tema Discover Penang yang bertujuan meningkatkan keterlihatan dan mempromosikan daya tarikan Pulau Pinang menerusi warisan budaya, tarikan unik dan kemudahan moden di negeri itu.

“Program itu mencerminkan komitmen kami untuk mengeratkan hubungan dengan pasaran pelancongan India dan menjemput pengembara India merasai pengalaman unik di Pulau Pinang yang terkenal dengan pesona pelbagai budaya, kaya dengan sejarah dan keindahan semula jadi.

“Program yang meliputi empat bandar iaitu Mumbai, New Delhi, Kolkata dan Chennai itu mendapat sambutan amat menggalakkan, dengan kira-kira 200 pembeli industri menyertai setiap sesi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Wong berkata pelancaran penerbangan terus dari Chennai ke Pulau Pinang dan polisi pengecualian visa kepada pelancong dari India, akan menjadi pemangkin yang memacu peningkatan kedatangan pelancong daripada negara tersebut.

Beliau berkata pada 2024, India menduduki tempat kedua dalam jumlah penumpang kapal persiaran di Jeti Swettenham Pier dengan 19,461 penumpang, mencerminkan tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelayaran dan keberkesanan kepelbagaian promosi yang dijalankan.

“Ramai pelancong kapal persiaran menghabiskan beberapa jam di Pulau Pinang semasa persinggahan itu. Menerusi penerbangan terus dari Chennai, kami berhasrat menukar pelancong jangka pendek ini menjadi pelancong berulang dan menetap lebih lama di sini.

“Dengan jumlah populasi yang besar dan minat yang semakin mendalam terhadap Pulau Pinang, kami menjangkakan India akan menjadi antara 10 negara tertinggi bagi jumlah ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak lama lagi, mengatasi negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri dalam peta pelancongan dunia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan