BELANJAWAN 2025 > BERITA

WEF 2025: Selatan Global Perlu Gesa Kepada Pembaharuan Struktur Antarabangsa - PM Anwar

22/01/2025 10:23 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland) 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Selatan Global seperti BRICS perlu mengambil pendirian berikutan struktur kewangan antarabangsa melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan pembaharuan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pakatan seperti BRICS adalah penting sebagai mekanisme untuk membincangkan mengenai pembaharuan dan membolehkan semua pihak mendapat manfaatnya.

“Kita bercakap mengenai demokrasi tetapi enggan menerima prinsip demokrasi dan akauntabiliti demokrasi. Pakatan Perdagangan Dunia (WTA) perlu membuat beberapa pelarasan.

“Itu sahaja yang mereka (Selatan Global) minta. Kita tidak akan berperang. Kita masih menggunakan mekanisme sedia ada,” kata beliau pada dialog eksklusif khas dengan kepimpinan forum bertajuk “A Conversation with Anwar Ibrahim” pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Sesi itu dikendalikan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan dalam memastikan kesinambungan serta mengurus sebagai negara perdagangan, Malaysia perlu menjalin hubungan baik dengan semua pihak.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun dan sebagai pengerusi ASEAN, perkumpulan itu mempunyai prinsip kepentingan bersama.

“Kami telah menjalin kerjasama yang baik dengan Amerika Syarikat dan akan terus berbuat demikian. China adalah jiran yang penting dan kami tidak mempunyai masalah.

“Sudah tentu, orang akan mengetengahkan isu Laut China Selatan, sempadan tetapi saya ingin mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara maritim,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa China telah menjadi pemain penting dalam ASEAN dan amat wajar berikutan mereka memberikan komitmen yang tinggi terhadap blok itu.

“Lebih serius berbanding kebanyakan rakan sekutu dan rakan lama kami,” kata beliau.

Anwar berkata sebagai sebuah negara yang bebas dan terbuka, Malaysia kini banyak bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata Malaysia telah memaklumkan kepada EU bahawa ia perlu bekerjasama dengan Selatan Global dan BRICS.

Anwar kini berada di penghujung lawatan kerja selama tiga hari untuk menghadiri WEF 2025, merupakan kehadiran pertama beliau sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.

--- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan