KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Berikut adalah wawancara dengan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi Januari yang diadakan pada 22 Jan, 2025, Rabu:-
1. Apakah keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari mengenai kadar dasar semalaman hari ini?
Jawapan: Kami memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, konsisten dengan penilaian kami terhadap keadaan semasa ekonomi Malaysia, yang mencatatkan pertumbuhan berterusan manakala inflasi pula rendah dan stabil.
2. Bagaimana MPC membuat keputusan ini?
Jawapan: MPC menyasar untuk merangsang kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Bagi mencapai perkara ini, kami meneliti risiko terhadap inflasi dan unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang ketika menetapkan OPR ini.
Saya mulakan dengan pertumbuhan: ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan kekukuhan berterusan pada 2025. Keadaan itu berasaskan momentum kukuh tahun lepas dan disokong oleh pelbagai pemacu pertumbuhan. Di peringkat domestik, perbelanjaan isi rumah diunjurkan kekal berdaya tahan. Ini berdasarkan prospek peluang pekerjaan yang lebih banyak dan pendapatan yang lebih tinggi. Semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam juga akan memberikan sokongan tambahan kepada perbelanjaan.
Kita akan terus merekodkan pengembangan pelaburan yang luas daripada tiga aspek. Pertama, banyak projek berbilang tahun oleh sektor awam dan sektor swasta yang sedang dilaksanakan. Kedua, kita terus menyaksikan perwujudan banyak pelaburan yang telah diluluskan.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 84.3 peratus daripada projek pelaburan pembuatan yang telah diluluskan sejak 2021 kini di pelbagai peringkat pelaksanaan.
Ketiga, banyak inisiatif merentas pelbagai perancangan induk negara sedang dijalankan. Semua pelaburan ini akan membantu mencipta pekerjaan, meningkatkan eksport, dan mengembangkan ekonomi kita.
Di peringkat luaran, kami menjangkakan ekonomi global terus berkembang manakala perdagangan dunia akan kekal mampan.
Ini penting untuk ekonomi kecil dan terbuka seperti Malaysia. Bagaimanapun, kami sedar ketidaktentuan mengenai sekatan perdagangan dan pelaburan mungkin memberi kesan kepada unjuran ini.
Di peringkat global, kami menjangkakan ekonomi seluruh dunia akan terus berkembang dengan perdagangan global secara umumnya akan kekal stabil.
Perkembangan ini penting bagi ekonomi yang kecil dan terbuka seperti Malaysia. Bagaimanapun, kami menyedari sebarang ketidakpastian berkaitan sekatan perdagangan dan pelaburan mungkin memberi kesan terhadap unjuran ini.
Memandangkan kita mempunyai hubungan baik dengan pelbagai rantaian bekalan global, kita perlu memantau faktor luaran yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi domestik. Kami menjangka kitaran menaik teknologi global akan terus menyokong permintaan untuk produk semikonduktor kita.
Eksport produk bukan elektrik dan elektronik (E&E) juga dijangka terus berkembang diikuti dengan peningkatan perbelanjaan pelancong.
Mengenai inflasi, pergerakan harga secara keseluruhannya meningkat di Malaysia. Purata kadar inflasi adalah sebanyak 1.8 peratus pada 2024, lebih rendah berbanding pada 2023. Kami menjangkan inflasi berada pada peringkat boleh urus pada 2025. Lebih penting lagi, kami tidak melihat tekanan permintaan domestik yang berlebihan dan tekanan kos global juga telah mereda.
Selain itu, kesan keseluruhan daripada pembaharuan dasar domestik yang baru diumumkan dijangka dapat dikawal dengan baik. Sebarang peningkatan risiko tentu sahaja akan bergantung kepada sejauh mana impaknya terhadap ekonomi serta prestasi harga komoditi global dan dinamik pasaran kewangan.
Dengan semua pertimbangan ini, kami membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada paras 3.0 peratus, bagi memastikan ia terus memberi sokongan kepada ekonomi. Keadaan kredit kekal menyokong keperluan pembiayaan isi rumah dan perniagaan, dengan kadar pinjaman yang stabil dan pertumbuhan kredit yang berterusan. Ini akan terus menyediakan persekitaran yang menggalakkan untuk aktiviti ekonomi dan memperkukuh prospek ekonomi negara.
3. Apakah satu perkara yang boleh kita simpulkan daripada keputusan atau proses dasar monetari baru-baru ini?
Jawapan: Saya ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi bahawa MPC sentiasa memandang ke hadapan apabila menetapkan dasar monetari. Ini kerana kesan perubahan OPR terhadap aktiviti ekonomi dan inflasi tidak berlaku serta merta. MPC bermesyuarat secara berkala, sekurang-kurangnya enam kali setahun pada tarikh yang ditetapkan untuk menilai data semasa dan yang akan datang, sambil memantau perkembangan yang berpotensi membawa titik perubahan kepada ekonomi.
Keputusan seterusnya akan diumumkan pada 6 Mac. Ini membolehkan kami memantau keadaan apabila ia berubah dan bertindak balas dengan sewajarnya.
Pada masa hadapan, kami akan terus berwaspada terhadap faktor yang akan menjejaskan pertumbuhan dan trajektori inflasi kami. Ini termasuk potensi risiko terhadap ekonomi global dan pertumbuhan rakan dagangan utama kita berikutan peningkatan sekatan perdagangan dan pelaburanserta ketidaktentuan dasar global.
Di dalam negara, kami akan memantau bagaimana permintaan kita berkembang sepanjang tahun dan sebarang perkembangan yang mungkin mengakibatkan tekanan harga yang berpanjangan.
4. Sentiasa ada minat yang tinggi terhadap ringgit. Walaupun kita faham ini tidak berkait secara langsung dengan keputusan dasar monetari BNM, namun apakah prospek ringgit pada 2025?
Jawapan: Seperti kebanyakan mata wang serantau lain, ringgit dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luar. Walaupun persekitaran global yang mencabar pada 2024, ringgit meningkat sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS dan 7.5 peratus berbanding rakan dagangan utama kita.
Bagi 2025, perbezaan kadar faedah yang mengecil antara Malaysia dan ekonomi maju memberi prospek positif terhadap ringgit. Walaupun pasaran kewangan mungkin mengalami prestasi tidak menentu akibat daripada ketidaktentuan global, prospek ekonomi kita yang menggalakkan serta pembaharuan struktur domestik, bersama-sama inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran, akan terus memberikan sokongan berterusan terhadap ringgit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial