KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan unjurannya untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada tahun ini untuk menyokong pertumbuhan domestik dalam mendepani cabaran luaran.
Keputusan ini berdasarkan ketidaktentuan mengenai langkah dasar Presiden AS Donald Trump dan risiko yang meningkat, walaupun terkawal, inflasi domestik.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata walaupun ia mengunjurkan kadar inflasi yang tinggi tahun ini pada 3.0 peratus berbanding 1.8 peratus pada 2024, peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh faktor dorongan kos, yang mencerminkan pembaharuan struktur dan fiskal yang amat diperlukan.
Ini termasuk pelarasan yang telah lama tertangguh seperti kos buruh yang tinggi berikutan kenaikan gaji minimum, levi pelbagai peringkat pekerja asing, caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rasionalisasi subsidi petrol RON95, kenaikan cukai kerajaan tempatan dan potensi semakan terhadap kadar asas elektrik Tenaga Nasional Bhd pada Julai 2025.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut mengekalkan jangkaannya untuk Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang 2025, dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
HLIB menjangka inflasi kekal terurus, dengan risiko bergantung pada tahap kesan limpahan daripada langkah-langkah dasar domestik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial