BELANJAWAN 2025 > BERITA

Skuad Tenpin Boling Negara Terima Insentif Khas RM90,000

23/01/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberikan insentif khas berjumlah RM90,000 kepada skuad boling negara atas kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong, awal bulan ini.

Insentif berkenaan merupakan pengiktirafan kepada pencapaian mereka meskipun Piala Dunia pada awalnya tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Penyampaian insentif khas itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, hari ini.

Natasha Roslan Mohamed, yang menamatkan kemarau 53 tahun menjadi atlet wanita pertama negara merangkul gelaran acara individu wanita pada Piala Dunia IBF itu, muncul penerima terbanyak insentif khas sebanyak RM25,000, termasuk RM5,000 bagi acara berpasukan.

Natasha turut bergelar naib juara acara berpasukan wanita bersama tiga lagi pemain iaitu Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, dan Gillian Lim yang menerima RM20,000.

Pasukan lelaki, yang terdiri daripada Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, dan Timmy Tan, turut membawa pulang RM40,000 selepas menjuarai acara berpasukan lelaki, manakala Muhamad Rafiq yang cemerlang bergelar naib juara individu lelaki turut menerima RM10,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan