BELANJAWAN 2025 > BERITA

Regatta RLIR: Mata Hari Optimis Cipta Kemenangan Kali Kelapan

23/01/2025 11:54 PM

LANGKAWI, 23 Jan (Bernama) -- Pasukan Mata Hari dari Malaysia terus optimis untuk mencipta kemenangan kali kelapan dalam Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2025 walaupun berada pada kedudukan kedua secara keseluruhan dalam kelas IRC1.

Mata Hari yang dikemudi Vincent Chan berada di kedudukan kedua dengan pungutan 12 mata penalti selepas tamat tujuh perlumbaan dan jauh ditinggalkan oleh pasukan Char Chan dari Jepun yang dikemudi Kazuki Kihara yang berada di kedudukan pertama dengan enam mata penalti.

Vincent berkata pasukannya berdepan dengan situasi sukar sejak perlumbaan pertama pada Selasa lepas dengan keadaan angin terlalu kuat dan ombak besar menyukarkan krunya untuk mengawal kapal dengan lebih baik berikutan kapal Mata Hari lebih kecil berbanding kapal milik Char Chan.

"Perlumbaan keenam dan ketujuh hari ini sangat mencabar dengan perubahan angin dan ombak yang kuat. Pasukan Char Chan yang memiliki kelebihan itu belayar dengan sangat baik dan berjaya menamatkan kedua-dua pusingan hari ini di tempat pertama.

"Bagaimanapun, kami masih belum berputus asa dan akan cuba sehabis baik sehingga perlumbaan ini tamat sepenuhnya. Saya sangat terharu dengan semangat yang dipamerkan oleh semua kru Mata Hari yang tidak berputus asa dan berjuang sehabis baik," katanya kepada Bernama, hari ini.

Vincent berkata pasukannya akan berusaha untuk mencipta kemenangan kali kelapan dalam kelas IRC1 pada tahun ini, sekali gus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada RLIR tahun lepas.

Sementara itu, pasukan The Next Factor dari Malaysia terus mempertahankan kedudukan tempat pertama dalam kelas Racing selepas mengumpul lapan mata penalti, sekali gus meninggalkan jauh tiga lagi pencabarnya.

Pasukan Blitz dari Hong Kong berada di tempat kedua dengan 14 mata penalti, diikuti pasukan Vayu dari Thailand dengan 15 mata penalti dan pasukan ATM Sailing Team dari Malaysia berada di tempat terakhir dengan 21 mata penalti.

RLIR 2025 yang dianjurkan di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) berlangsung selama lima hari bermula Selasa lepas dengan enam kategori dipertandingkan iaitu Kelas Racing, Kelas IRC1, Kelas IRC2, Kelas Sportboats, Kelas Multihull dan Kelas Club.

KEPUTUSAN HARI KETIGA

 

KELAS RACING (7 perlumbaan) :

1.The Next Factor (MAS) - 8 mata penalti

2.Blitz (HKG) - 14

3.Vayu (THA) - 15

4.ATM Sailing Team (MAS) - 21

KELAS IRC1 (7 perlumbaan) :

1.Char Chan (JPN) -  6 mata penalti

2.Mata Hari (MAS) - 12

3.Team Jolt (SGP) - 17 

4.Uminoko (KGZ) -  30 

5.Red Rum One (SGP) - 30 

6.Sailing Dream (CHN) - 31

7.Venture (NEU) - 34 

8.Kesini (SGP) - 43

9.Team Malabar (MAS) - 50 

 

KELAS IRC2 (6 perlumbaan ) :

1.Phoenix (DEN) -  6 mata penalti

2.PDRM Sailing Team (MAS) - 10

3.The Blue Angel (MAS) - 14 

4.Telaga Sail99 - UMT Racing Team (MAS) - 16 

5.VG Offshore (MAS) - 25 

 

KELAS SPORTBOATS (7 perlumbaan) :

1.RSYC Racing Team (MAS) - 6 mata penalti

2.Navy 2 (MAS) - 12

3.Navy 1 (MAS) - 16

4.RSYC Sailing Team (MAS) - 24

 

KELAS MULTIHULL (6 perlumbaan) :

1.Twin Sharks (THA) -  7 mata penalti

2.Haruki (AUS) - 9 

3.WOW (GBR) - 11

4.Boreas (AUS) - 20

5.Trident (GBR) - 25

 

KELAS CLUB (6 perlumbaan) :

1.Dash (MAS) - 5 mata penalti

2.Wind of Change (NEU) - 11

3.Suraya (AUS) - 14 

4.Marikh (MAS) - 18 

5.Onisama Sailing Racing (CHN) - 25 

6.Red Cap Sailing School (GBR) - 29 

7.Tofan (MAS) - 35 

8.Eveline (MAS) - 35 

-- BERNAMA

 

gig


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan