IPOH, 25 Jan (Bernama) -- Usaha seorang bapa mendapatkan kewarganegaraan untuk anaknya selepas berjuang selama 17 tahun berakhir apabila permohonan untuk anak perempuannya itu diluluskan.
Phang Sze Woon, 60, berkata dia menerima berita permohonan anaknya, Phang Wei Tyng, 18, untuk menjadi warganegara Malaysia diluluskan pada 31 Julai 2024 dan kini sedang menunggu MyKad dikeluarkan.
Katanya, usaha untuk mendapatkan kewarganegaraan Wei Tyng bermula selepas anak sulungnya itu lahir pada 2006, hasil perkahwinan keduanya dengan seorang wanita warga Indonesia.
"Saya berpisah dengan isteri pertama pada 2003, namun disebabkan terdapat proses penceraian yang tidak lengkap, apabila Wei Tyng lahir, anak saya perlu ikut kewarganegaraan ibunya, iaitu Indonesia.
"Saya cuba mendapatkan kewarganegaraan mengikut saluran yang telah ditetapkan termasuk di Putrajaya, namun ditolak sebanyak empat kali disebabkan pelbagai halangan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Gopeng dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing dan ADUN Simpang Pulai Wong Chai Yi.
Phang berkata dia bersyukur apabila permohonan status kewarganegaraan anaknya diluluskan sekali gus membolehkan anaknya untuk terus menyambung pelajaran dan bekerja.
Sementara itu, Tan berkata kes Wei Tyng merupakan antara 30 individu yang menerima surat keputusan kewarganegaraan daripada 53 permohonan yang dibuat melalui pusat khidmatnya dalam tempoh dua tahun lepas.
"Sebanyak 30 permohonan yang diluluskan itu melibatkan 29 kanak-kanak dan remaja di bawah umur 21 tahun dan seorang warga emas yang sebelum ini berstatus pemastautin tetap selama 20 tahun.
"Kita ucapkan terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meluluskan permohonan pengadu secepat mungkin mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau turut menasihati individu yang menghadapi masalah sama supaya tidak bergantung pada ejen sebaliknya digalakkan untuk berhubung terus dengan wakil rakyat terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial