BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keutuhan Maruah, Kekuatan Kaum Melayu Dibina Atas Asas Nilai Islam - PM Anwar

27/01/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Keutuhan maruah dan kekuatan sedia ada masyarakat Melayu dibina atas asas nilai Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini adalah satu daripada aspek yang perlu terus dijulang sehingga hari ini, dan ia telah diketengahkan dalam beberapa buku yang ditulis oleh ilmuan negara Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

“Ini adalah satu aspek yang perlu terus dijulang, terutamanya pada ketika ini, dan bukannya masih khayal dengan ‘Melayu hilang kuasa’ atau mendabik dada dengan ‘Ketuanan Melayu’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Syarahan Perdana 'Islam: the Covenants Fulfilled’ oleh Syed Muhammad Naquib di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Prof Dr Alparslan Acikgenc dari Universiti Ibn Khaldun, Turkiye.

Beliau berkata karya agung Syed Muhammad Naquib bertindak sebagai peringatan, mengenai masa depan Islam yang berkaitan dengan kehidupan berdasarkan penguasaan menyeluruh nilai-nilai ketamadunan yang berteraskan keadilan, budaya, kebebasan, moral dan kemajuan masyarakat. 

"Paling utama, adalah seruan untuk mengatasi kejahilan dengan pengetahuan, untuk beralih dari kegelapan kepada cahaya, dan semua ini menjadi agenda utama yang sangat penting untuk tamadun yang mulia dan hebat," katanya.

Anwar berkata kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menambah baik Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dengan koleksi semasa berjumlah lebih 150,000 naskhah buku.

“Mari kita doakan agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan mendapat manfaat daripada ilmuan Islam kita, guru kita yang cemerlang, yang dikasihi Prof Diraja Naquib Al-Attas,” katanya.

Sebagai seorang murid setia Syed Muhammad Naquib, Anwar berkata ulama itu memberi inspirasi kepadanya untuk pergi lebih jauh, keluar dari zon selesa buku dan pengajiannya, dan mengambil tindakan untuk menjayakan sesuatu.

Beliau berkata buku-buku ulama berkenaan mengenai Islam dan Sekularisme yang diterbitkan lebih empat dekad lepas, mempunyai kesan berpanjangan dalam dirinya dan beliau percaya ia kekal relevan sehingga kini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan