TANAH MERAH, 25 Jan (Bernama) -- Sumbangan Ihsan MADANI kepada 200 keluarga mangsa banjir di Kelantan termasuk bantuan pembelian pakaian seragam sekolah, meringankan lagi beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan akan datang.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sumbangan itu merangkumi baucar pembelian di pasar raya tertentu untuk keperluan persekolahan.
“Selain bantuan banjir dan pakaian seragam sekolah, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membolehkan sebanyak 200 topi keledar diagihkan kepada penduduk setempat di sini.
“Seramai 58 keluarga kakitangan JPJ yang turut terjejas akibat banjir turut menerima bantuan Ihsan MADANI. Selain itu lesen motosikal percuma juga diberikan kepada penerima terpilih dengan syarat mereka menghadiri kelas yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Skuad Ihsan MADANI JPJ Kelantan dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan yang disalurkan itu turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan dan inisiatif pendidikan kepada pelajar miskin Malaysia sejak 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial