BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPDN Kelantan Perluas Jualan Rahmah MADANI Ke Kawasan Pedalaman Tahun Ini

26/01/2025 08:20 PM

KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merancang untuk melaksanakan Jualan Rahmah MADANI sebanyak empat kali bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan tahun ini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata program itu adalah lanjutan daripada kejayaan tahun lepas, iaitu dua kali diadakan di setiap DUN dengan keseluruhan 758 jualan.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati harga barangan yang lebih murah dan meringankan kos sara hidup mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.

Azman berkata jumlah keseluruhan kutipan yang diperoleh pada tahun lepas adalah RM36 juta, dengan RM9.1 juta subsidi Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, kami bekerjasama dengan 30 operator untuk membekalkan barangan di lokasi Jualan Rahmah MADANI sepanjang 2024,” katanya.

Azman berkata KPDN akan memperluaskan Jualan Rahmah MADANI ke kawasan pedalaman, seperti yang dilaksanakan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai tahun lepas.

“Barangan jualan dibawa menggunakan feri untuk memudahkan penduduk di kawasan itu menikmati manfaat program ini,” katanya.

Beliau berkata penduduk di kawasan pedalaman sering menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan barangan asas dan terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan untuk ke pekan, sekali gus meringankan beban mereka menerusi inisiatif ini.

Sementara itu, Azman berkata setakat 26 Jan tahun ini, KPDN Kelantan telah merekodkan nilai rampasan RM176,000 melibatkan 89 kes.

“Sebanyak 18 tangkapan telah dibuat, kebanyakannya melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan