KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) --Pemain perseorangan wanita muda negara Lim Zhi Sin mencipta kemenangan sensasi menentang pemain berpengalaman Siti Nurshuhaini Azman untuk dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 Tahun (B-21) di Kuantan, hari ini.
Pada aksi final di Dewan Persatuan Badminton Pahang, pemain berusia 17 tahun itu terpaksa bermandi peluh selama 75 minit sebelum mengatasi bekas pemain kebangsaan dari Selangor itu dengan keputusan 21-19, 17-21, 21-19.
Dalam pada itu, saingan perseorangan lelaki pula menjadi milik Tan Kean Wei dari Pulau Pinang selepas menundukkan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Roslie Razeeq Danial 21-18, 13-21, 21-10 dalam masa 55 minit.
Saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan BAM, Faiq Masawi-Lok Hong Quan, muncul juara selepas bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan rakan sepasukan Loh Ziheng-Tan Zhi Yang 18-21, 21-18, 21-19.
Bagi acara beregu wanita, pasangan BAM, Carmen Ting-Ong Xin Yee, tidak menghadapi sebarang masalah untuk menewaskan pasangan Johor, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu, 21-19, 21-7 bagi merangkul gelaran juara.
Juara beregu campuran pula menjadi milik gandingan BAM, Wee Yee Hern-Chan Wen Tse, yang berjaya menundukkan rakan sepasukan Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan dengan kemenangan 21-11, 21-16.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial