PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung keperluan menaik taraf dan baik pulih Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Hanafiah Man.
Beliau berkata kajian berkenaan selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya KEMAS menyediakan memorandum Jemaah Menteri berkenaan perkara itu.
Mohd Hanafiah berkata laporan yang sedang disediakan itu bersifat komprehensif dengan bukan sahaja memberi tumpuan kepada kerja fizikal tetapi turut mengambil kira aspek dasar.
“Ini termasuk isu pemilikan tanah, status bangunan yang digunakan secara menumpang terutamanya bangunan awam seperti balai raya serta kaedah perolehan bangunan komersial yang sesuai untuk dijadikan premis Tabika KEMAS.
“Kita mahu penyelesaian secara menyeluruh yang dapat dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak khususnya di luar bandar lebih teratur dan terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kawasan pedalaman, beliau berkata penyediaan tenaga elektrik dan sumber air perlu diberi perhatian dengan mengkaji keputusan kerajaan mengenai penggunaan panel solar, tangki tadahan hujan atau air bawah tanah bagi memastikan keperluan asas itu dapat dipenuhi secara efektif.
Mohd Hanafiah berkata KEMAS bukan sahaja komited menyediakan kemudahan fizikal yang kondusif tetapi peluang pendidikan awal berkualiti bagi anak-anak di luar bandar adalah menjadi keutamaan agar mereka mendapat peluang yang sama dengan anak-anak di kawasan bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial