BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ketokohan Anwar Kunci Utama Kemampuan Malaysia Angkat Suara ASEAN Ke Peringkat Dunia

27/01/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ketokohan dan personaliti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kunci utama kepada kemampuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, untuk meningkatkan imej seterusnya membawa suara blok itu ke pentas dunia.

Profesor di Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata Anwar mempunyai keupayaan diperlukan untuk mengemudi ASEAN sekali gus mengukuhkan suara kolektif gabungan itu dan mengangkatnya ke suatu tahap lebih tinggi.

"Perdana Menteri mempunyai keupayaan dalam pengucapannya yang amat baik, juga bertutur dalam bahasa Inggeris amat baik dan disokong dengan kemampuan Malaysia sendiri yang merupakan Ahli Pertubuhan Komanwel, juga OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).

"Jadi, Perdana Menteri boleh menggunakan sejarah pertalian yang baik Malaysia sebagai negara anggota dalam Komanwel dan OIC itu untuk memberi manfaat kepada ASEAN secara keseluruhan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Bernama di sini hari ini.

Pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland pada 20 hingga 24 Jan lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan buat julung kalinya atas kapasiti Pengerusi ASEAN telah menyampaikan suara bersama blok dianggotai 10 negara itu, antara lain menyentuh aspek cabaran, potensi dan kebebasan dalam membuat keputusan.

Menyentuh mengenai peranan Malaysia selaku negara pengerusi dalam memperkasakan hala tuju ASEAN, Syed Arabi berkata selain meneruskan sebarang perancangan dan keputusan terdahulu, beberapa aspek lain boleh diperkasakan termasuk mengangkat imej ASEAN sebagai blok neutral dengan potensi perniagaan.

"Selain meneruskan kerjasama baik dengan China, ASEAN juga boleh tunjukkan pendirian mereka terhadap pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Presiden Donald J. Trump.

"Kita boleh tonjolkan ASEAN ini sebagai satu unit yang diperlukan (Amerika Syarikat) kerana dari aspek keselamatan, kita bersifat neutral selain memiliki potensi pelaburan dengan kapasiti hampir 700 juta penduduk," katanya.

Syed Arabi dalam pada itu turut berkongsi mengenai dapatan tinjauan Unit Kajian Pilihan Raya UIAM yang menyaksikan 94 peratus rakyat di negara ini berbangga dengan tanggungjawab Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Berdasarkan kajian bertajuk "Persepsi Orang Ramai Terhadap Isu Semasa" yang dikongsikan kepada Bernama, kajian melibatkan 5,488 individu pelbagai kategori umur, jantina, bangsa, pendapatan dan latar belakang pendidikan itu juga menunjukkan 80 peratus responden berminat untuk mengetahui hal ehwal berkaitan ASEAN.

Sementara itu, Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) Jaffri Amin Osman berkata tempoh Kepengerusian ASEAN harus dimanfaatkan untuk membawa Malaysia secara khususnya terus maju ke hadapan.

"Selain itu, saya juga berasakan sektor swasta antaranya syarikat perniagaan, usahawan dan universiti boleh memainkan peranan dalam merancakkan lagi promosi berkaitan ASEAN di negara ini sekali gus memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk menjadi sebahagian daripada landskap ASEAN," katanya.

Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Vientiane.

Malaysia yang mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan", mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan lepas.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan