MANJUNG, 27 Jan (Bernama) -- Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mampu tersenyum lebar selepas menyaksikan skuad bimbingannya menang bergaya 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam tadi.
Clayton Da Silva cemerlang meledak empat gol selain masing-masing satu daripada ketua pasukan Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada untuk memastikan Perak naik tiga anak tangga ke kedudukan kelima carta liga mengumpul 22 mata.
Yusri berkata beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya yang telah memanfaatkan peluang untuk beraksi dengan baik bagi memperbaiki kedudukan liga.
"Tahniah kepada pemain kerana telah menggunakan peluang yang ada tanpa melepaskan sebarang gol pada pihak lawan sebaliknya berjaya mencipta lebih banyak jaringan.
“Saya harap pemain dapat kekalkan momentum kemenangan ini kerana masih ada beberapa perlawanan yang penting dan lebih sukar untuk kita harungi musim ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.
Yusri menambah skuadnya mahu kekal fokus pada perlawanan seterusnya iaitu bertemu Kuching City FC pada 7 Feb di Stadium Negeri, Kuching, sebelum menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) FC pada 27 Feb.
"Kita sudah hampir sampai ke penghujung liga dan pemain seharusnya memastikan setiap minit itu cukup berharga untuk merebut segala peluang hingga akhirnya berjaya bantu pasukan raih tiga mata.
"Jika mereka sedar sebelum ini prestasi mereka tidak begitu baik, jadi mereka perlu memperbaiki diri sedikit demi sedikit untuk buat lebih baik daripada ini dalam aksi akan datang," katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya berkata walaupun dihimpit pelbagai isu, pemainnya memanfaatkan peluang untuk buktikan kemampuan apabila turun beraksi malam tadi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pemain saya yang sanggup datang ke Manjung untuk bermain malam ini walaupun saya hanya berjumpa mereka sehari sebelum perlawanan.
"Memang saya akui kondisi pemain tidak begitu baik kerana sudah agak lama tidak menjalani latihan bersama apatah lagi berhadapan dengan pasukan yang baik seperti Perak, kita cuba untuk beri saingan namun ia tidak menjadi," katanya.
Beliau berkata usaha untuk mengimbangi perlawanan tidak menjadi walaupun adakalanya pemain mampu mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial