KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Citadel Group mengumumkan pengembangannya ke Indonesia dengan penubuhan PT Citadel Group Indonesia di Jakarta.
Pengarah Urusan Citadel Group Fred Chan berkata langkah itu menandakan peristiwa penting dalam pertumbuhannya memandangkan syarikat itu menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global sambil mengekalkan identiti ASEAN yang kukuh.
Sebagai sebahagian daripada pertumbuhan strategiknya, Citadel Group telah menandatangani surat hasrat untuk menyatakan komitmennya menerajui inisiatif pembangunan tanah yang transformatif dan pendigitalan dalam projek Ibu Kota Nusantara (IKN) di Indonesia. Syarikat itu merancang untuk membangunkan kawasan kediaman sebagai sebahagian daripada sumbangannya kepada projek mercu tanda berkenaan.
Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN) turut mengesahkan penglibatan Citadel, menjadikannya pelabur asing kedua dalam usaha niaga bersejarah ini.
“Penglibatan kami dalam Nusantara mewakili lebih daripada sekadar pelaburan, ia adalah ikrar untuk memupuk inovasi dan mengukuhkan hubungan serantau. Di Citadel, kami dipacu oleh misi untuk mencipta peluang yang memberi kesan dalam meningkatkan komuniti dan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk ASEAN,” kata Chan dalam satu kenyataan.
Citadel Group merupakan nama terkemuka dalam kewangan digital, menawarkan produk dan perkhidmatan kekayaan patuh Islam dengan kepakaran berlesen.
Anak syarikat utamanya, Citadel Technologies juga telah mencapai kemajuan yang ketara, memperoleh dua pensijilan berprestij—ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti dan ISO 27001:2022 untuk Pengurusan Keselamatan Maklumat.
Chan berkata pensijilan itu mencerminkan dedikasi syarikat untuk menegakkan standard kualiti dan keselamatan tertinggi dalam transformasi digital dan perkhidmatan pengurusan kekayaannya.
Sementara itu, di Malaysia, Citadel Technologies terus memacu inovasi melalui perkongsian, termasuk kerjasama penting dengan Kelab Bola Sepak Selangor dalam kewangan digital dan pelancaran aplikasi pelancongan Islam yang akan datang.
Ketika Citadel Group bersiap sedia untuk menyambut tahun keenamnya, pencapaiannya meletakkan asas untuk masa depan yang lebih transformasi. Dengan tawaran awam permulaannya yang dijadualkan pada 2025, Citadel menempatkan dirinya di barisan hadapan dalam evolusi ekonomi ASEAN.
Dengan memanfaatkan perkongsian strategik dan inisiatif pertumbuhan mampan, Citadel menyasarkan untuk mentakrifkan semula pengurusan kekayaan dan transformasi digital di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial