BELANJAWAN 2025 > BERITA

PeSAWAH Mahu Harga Lantai Padi Dinaikkan Kepada RM1,800

27/01/2025 03:03 PM

PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.

Pengerusi PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata hal itu merupakan antara dua usul yang disenaraikan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

“Tuntutan oleh pesawah di seluruh negara itu dilihat munasabah memandangkan harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos diesel dan benih padi. Jadi, kenaikan harga padi ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Chan Ming Kai.

Selain itu, katanya memorandum berkenaan turut mengandungi bantahan PeSAWAH terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang dan mahu kerajaan membatalkannya. 

Abdul Rashid berkata RUU itu mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperoleh lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.

Di bawah RUU itu, katanya mana-mana penyimpan dan pengedar benih yang tidak mempunyai lesen boleh dikenakan denda hingga RM100,000 dan tiga tahun penjara.

"Kami membantah sekeras-kerasnya cadangan RUU yang dilihat akan membebankan petani kecil … hal ini berikutan peningkatan kos bersawah, kelewatan bekalan benih yang sering berlaku dan kemerosotan kualiti benih padi sah," katanya.

Abdul Rashid berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir 30 peratus pesawah sudah mula memproses, berkongsi dan menjual benih padi dari sawah mereka sendiri untuk menjimatkan kos dan mendapat pendapatan tambahan secara kecil-kecilan.

Terdahulu, lebih 500 pesawah berhimpun secara aman di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan membawa poster bertulisan antaranya "PMX tolong naikkan harga lantai", "Peluh petani bukan percuma", "Tolak pelesenan wajib untuk setiap benih".

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika dihubungi memberi jaminan akan turun padang dengan kadar segera untuk mengadakan libat urus dengan petani yang terjejas.

"Sebagai menteri bertanggungjawab, saya akan turun ke Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lain-lain tempat untuk libat urus berterusan dengan penanam padi," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan