BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tidak Bekerja Bukan Alasan Untuk Bertahan Didera Suami - Pakar

28/01/2025 10:38 AM
From: Balkish Awang

Kisah wanita menjadi mangsa penderaan dalam rumah tangga, baik secara fizikal ataupun mental khususnya oleh suami, sudah menjadi cerita biasa dalam masyarakat masa kini.

Malah, lebih tragik, ada juga kes yang berakhir dengan kematian, sama ada isteri ataupun suami itu sendiri. Apabila berlaku kes sebegini, masyarakat umumnya melontarkan pertanyaan mengapa si isteri tidak bertindak keluar dari rumah dan membebaskan dirinya daripada suami yang zalim?

Lazimnya, jawapan yang biasa didengar ialah si isteri tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya pada suami, selain dia juga tidak sanggup dicap sebagai nusyuz (tidak taat kepada suami) dan berkemungkinan besar kehilangan hak penjagaan anak. 

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 12,324 kes membabitkan keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2019. Namun, tidak dapat disangkal angka sebenar mungkin lebih besar memandangkan tidak semua mahu tampil kepada pihak berkuasa atas pelbagai alasan yang hanya mereka sendiri ketahui.

 

DILEMA NUSYUZ 

Merungkai permasalahan ini, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara Dr Khairul Azhar Meerangani berkata Islam memberikan hak kepada seorang isteri untuk meninggalkan perkahwinan yang penuh kezaliman demi keselamatan dirinya. 

pic-2

Beliau berkata ini kerana suami yang berlaku zalim telah melanggar tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga, justeru tindakan keluar daripada perkahwinan sedemikian bukan satu bentuk penderhakaan, sebaliknya ikhtiar perlindungan diri yang dibenarkan oleh syariat.

Mengulas lanjut, Khairul Azhar berkata pada dasarnya nusyuz merupakan suatu label yang digeruni para isteri sehingga mendorong mereka menerima segala perbuatan suami tanpa banyak soal. 

"Sebenarnya nusyuz merujuk penderhakaan isteri terhadap hak dan ketaatan suaminya tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak. Dalam erti kata lain, sekiranya ada sebab yang kukuh di sisi syarak seperti mudarat fizikal dan mental, maka diharuskan bagi isteri untuk meninggalkan rumah demi menyelamatkan diri daripada bahaya tersebut. 

"Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhayli, isteri yang dizalimi disarankan memberi peringatan kepada suami tentang akibat buruk perbuatan zalim yang dilakukan. Sekiranya suami berubah dan memperbaik dirinya, itu adalah tindakan terbaik. Namun, jika suami enggan berubah, isteri hendaklah membawa perkara tersebut kepada perhatian hakim untuk menuntut haknya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tambah beliau, hakim berperanan mengembalikan hak kepada yang berhak kerana isteri mungkin tidak mampu melakukannya sendiri.

“Jika suami terus mengulangi perbuatannya, isteri berhak memohon kepada hakim agar tindakan sewajarnya diambil terhadap suaminya," kata beliau.

Justeru, katanya, seseorang isteri yang keluar dari rumah akibat tidak tahan dizalimi suaminya, tidak termasuk dalam kategori nusyuz.

"Dalam Islam, nusyuz hanya berlaku jika isteri sengaja enggan melaksanakan tanggungjawab tanpa sebab yang dibenarkan. Sebaliknya, penderaan oleh suami boleh membatalkan haknya untuk ditaati. Suami yang menganiayai isterinya telah melanggar syariat dan merosakkan konsep perkahwinan yang harmoni,” katanya. 

Tambah Khairul Azhar, dalam konteks penderaan, isteri tidak wajib mematuhi suami yang zalim kerana ketaatan hanya diwajibkan dalam perkara yang tidak melanggar hukum Allah. 

"Seperti sabda Rasulullah SAW berbunyi: Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang membawa kepada maksiat kepada Pencipta (Allah SWT). Sesungguhnya (kewajipan) taat (hanya) pada (perkara) kebaikan (Hadis Riwayat al-Bukhari).”

Beliau berkata suami yang menganiayai isterinya telah melakukan maksiat (penderhakaan) terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. 

 

HAK KELUAR DARI PERKAHWINAN TOKSIK

"Dalam berdepan situasi ini, Islam menyediakan jalan keluar, sama ada menerusi perceraian, fasakh (pembubaran perkahwinan) atau khuluk (tebus talak).

“Ini bertujuan melindungi hak dan keselamatan para wanita daripada berterusan menjadi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga," katanya.

pic-4

Khairul Azhar berkata definisi keganasan rumah tangga dari sudut Islam bermaksud sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan yang dilakukan oleh seseorang terhadap ahli keluarganya termasuk isteri, dan ia boleh berlaku dalam bentuk fizikal, mental, emosi dan seksual. 

"Keganasan rumah tangga ini bercanggah dengan prinsip Islam yang menekankan kasih sayang dan keharmonian dalam rumah tangga. Mereka yang melakukan keganasan sebenarnya menyanggah petunjuk sunah kekeluargaan yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW: ‘Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku. (Hadis Riwayat Ibn Majah).

“Justeru hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam melarang segala bentuk keganasan terhadap isteri, sebaliknya menggalakkan layanan baik," katanya.

 

TINDAKAN

Khairul Azhar berkata antara tindakan yang boleh diambil oleh suri rumah yang menjadi mangsa keganasan suami ialah melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Isteri boleh membuat laporan polis atau memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) untuk melindungi diri daripada suami yang ganas.

"Wanita teraniaya boleh memohon fasakh atau khuluk melalui mahkamah syariah. Isteri boleh memohon pembubaran perkahwinan kerana prosedur berkenaan dibenarkan dalam kes penderaan fizikal atau mental," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati wanita tidak bekerja agar mempersiapkan diri dengan menguasai ilmu kemahiran bagi mencapai tahap kewangan yang lebih baik tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada suami yang zalim.

Tambahnya, selain menjadikan para isteri lebih berdikari, ia juga memberikan kekuatan tambahan buat wanita untuk terus tabah menempuh cabaran mendatang. 

Berhubung kebimbangan seorang wanita tidak bekerja akan kehilangan anak selepas nekad melarikan diri, Khairul Azhar berkata dalam undang-undang Islam, hak penjagaan anak (hadanah) lebih mengutamakan kesejahteraan anak. 

"Para isteri juga tidak perlu khuatir dengan beban kewangan yang perlu ditanggung bagi menguruskan keperluan anak-anak. Ini kerana wanita yang dianiaya berhak menuntut perbelanjaan wajar daripada pihak suami menerusi prosedur mahkamah, antaranya nafkah iddah, mutaah serta harta sepencarian. 

"Isteri tidak bekerja juga boleh menuntut harta berasaskan sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh perkahwinan (seperti pengurusan rumah tangga dan sebagainya)," jelasnya.

 

HAK PERUNDANGAN

Sementara itu, menerusi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,  Seksyen 2 memperuntukkan permasalahan keganasan rumah tangga merangkumi pelakuan satu perbuatan atau lebih, seperti dengan sengaja atau dengan disedarinya, meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff berkata seksyen berkenaan turut meliputi penderaan seperti mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya, mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya,  mengalami tekanan serta menyebabkan penderaan psikologi termasuk kecederaan emosi.

pic-5

“Pergi ke JKM untuk perlindungan kecemasan atau hubungi talian Nur Kasih 15999. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Interim yang termaktub dalam Seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Mengikut seksyen tersebut, mangsa keganasan rumah tangga boleh memohon perintah perlindungan interim di mahkamah untuk menghalang suami daripada terus melakukan keganasan sementara siasatan polis sedang berlangsung," katanya.

Peguam syarie di Tetuan Hariz Syakinah & Co itu berkata apabila prosiding jenayah bermula terhadap si suami, maka si isteri perlu membuat permohonan perintah perlindungan di mahkamah di bawah Seksyen 5 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Menurut Seksyen 7 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa orang yang dalam perintah perlindungan atau perintah perlindungan interim dibuat berkemungkinan akan menyebabkan kecederaan fizikal sebenar kepada orang dilindungi, mahkamah hendaklah menyertakan suatu kuasa penangkapan pada perintah perlindungan atau perintah perlindungan interim itu.

"Tidak bekerja bukan alasan untuk terus bertahan dalam perhubungan yang berbahaya. Negara ini menyediakan sokongan undang-undang dan perlindungan bagi wanita yang berada dalam situasi berkenaan (penderaan)," katanya.

 

KUASAI ILMU 

Justeru, peguam itu menasihati  wanita di luar sana untuk terus bangkit dan tidak membiarkan diri lemas dalam keganasan suami. Menurut Muhammad Hariz, wanita tidak bekerja perlu memiliki keyakinan diri, keberanian dan pengetahuan tentang hak-hak mereka. 

"Mereka harus sedar bahawa tidak ada yang salah dalam melarikan diri daripada penderaan dan wanita  berhak mendapatkan perlindungan serta keadilan. Dalam kes-kes yang lebih sukar ia memerlukan sokongan daripada peguam atau organisasi yang membantu kaum Hawa teraniaya," katanya.

pic-3

Beliau berkata biarpun hanya suri rumah, wanita jangan sesekali berdiam diri dan perlu tahu bahawa mereka juga berhak mendapatkan perlindungan. 

"Jangan takut untuk membuat laporan atau mencari bantuan. Carilah sokongan sama ada daripada keluarga, rakan-rakan atau organisasi kebajikan selain sokongan luar yang boleh memberi kekuatan," katanya.

Begitu juga dengan hak penjagaan anak-anak, pengamal undang-undang itu berkata dalam sistem undang-undang, seorang isteri yang melarikan diri daripada keganasan rumah tangga berhak memohon hak penjagaan anak.

"Hak penjagaan anak akan ditentukan oleh mahkamah syariah berdasarkan kesejahteraan dan kepentingan terbaik anak tersebut. Tidak bekerja bukan alasan untuk menghalang hak penjagaan anak-anak. 

"Wanita perlu memfailkan fasakh di mahkamah supaya mahkamah boleh memfaraqkan (membubarkan) pernikahan jika suami enggan lafaz cerai. Selepas itu mereka boleh failkan permohonan hadanah (hak penjagaan anak-anak) di mahkamah dengan melampirkan sabitan yang dikenakan terhadap suami atas kesalahan keganasan rumah tangga," katanya.

Beliau berkata lazimnya mahkamah akan menimbang keadaan yang lebih besar dalam menentukan penjagaan anak termasuk kesejahteraan emosi dan keselamatan mereka.

Tambah Muhammad Hariz, seorang isteri juga perlu mengenali hak mereka sebagai suri rumah serta harus mempelajari hak-hak mereka agar dapat bertindak dengan tepat dan cekap jika berlaku penderaan.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan