KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal memperkenalkan empat laluan baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 1 Feb ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, syarikat itu memaklumkan empat laluan tersebut ialah laluan T650B yang meliputi Taman Desa-Jalan Klang Lama, T850B (LRT Bangsar-Taman Bandaraya), T512B (MRT Putrajaya Sentral-Presint 11) dan T250B (Taman Genting Setapak-Setapak).
“Laluan T850B (LRT Bangsar-Taman Bandaraya) dan T512B (MRT Putrajaya Sentral-Presint 11) akan terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL. Kesalinghubungan ini amat penting bagi membolehkan pengguna Rapid KL menyambung perjalanan mereka dengan rangkaian rel dan bas.
“Perkhidmatan bagi laluan T650B (Taman Desa-Jalan Klang Lama) dan T250B (Taman Genting Setapak-Setapak) pula akan menggunakan lorong bas di Jalan Klang Lama serta Jalan Genting Kelang. Ini membolehkan penumpang meneruskan perjalanan dengan bas Rapid KL dan sebaliknya,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata perkhidmatan baharu yang diperkenalkan ini akan dapat memendekkan purata waktu menunggu penumpang hingga sepuluh minit.
“Kami masih mengekalkan perkhidmatan bas Rapid KL di kawasan ini dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang baharu akan dapat menyokong capaian bas dengan hentian lebih dinamik. Purata waktu menunggu juga lebih pendek, sekitar 10 minit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial