NEW YORK, 28 Jan (Bernama-WAM) -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mempercepatkan pengagihan bekalan dan perkhidmatan kepada kanak-kanak di Semenanjung Gaza, dengan lebih 350 trak memasuki kawasan itu pada minggu pertama gencatan senjata yang dinanti-nantikan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Trak berkenaan yang membawa air, kit kebersihan, rawatan kekurangan zat makanan, pakaian tebal, kanvas dan bantuan kemanusiaan kritikal lain, memasuki kawasan itu melalui pintu masuk di utara dan selatan Semenanjung Gaza serta diagihkan bersama rakan kerjasama kepada keluarga yang memerlukan, menurut kenyataan UNICEF yang dikeluarkan pada Ahad.
Lebih 2 juta penduduk di Semenanjung Gaza, separuh daripadanya kanak-kanak, menghadapi kekurangan teruk keperluan asas termasuk air bersih, sanitasi, makanan dan rawatan perubatan. Kerosakan infrastruktur adalah amat teruk, menyebabkan banyak sekolah, hospital dan rumah musnah.
“Pasukan kami bekerja tanpa henti untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, terutamanya di kawasan yang sebelum ini tidak dapat dicapai kerana cabaran operasi atau sekatan,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell.
“Pasukan UNICEF terus menemui dengan kanak-kanak yang berada dalam keadaan amat memerlukan. Gencatan senjata telah memberikan sedikit kelegaan, tetapi keluarga kembali ke kawasan yang telah musnah sepenuhnya. Kesan fizikal dan emosi amat mendalam.”
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial