BELANJAWAN 2025 > BERITA

UTP Perkukuh Komitmen Terhadap Pembangunan Masyarakat

28/01/2025 06:53 PM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi inisiatif yang menumpukan kepada pendidikan, sosioekonomi dan alam sekitar.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata dalam bidang pendidikan, UTP mempromosikan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui program seperti ESTREAM WAVES dan pelbagai inisiatif untuk masyarakat Orang Asli, memberi inspirasi kepada generasi akan datang dalam bidang sains dan kejuruteraan.

“Bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi, UTP bekerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan industri dalam projek seperti Perak Tengah Circular Economy and Food Security Hub (HenSeM).

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan amalan pertanian lestari, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan meletakkan Perak Tengah sebagai hab inovasi bioekonomi pertanian menjelang 2027," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata UTP juga komited terhadap kelestarian alam sekitar menerusi inisiatif seperti mengurangkan jejak karbon di kampus, mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan menggalakkan masyarakat menghidupkan amalan lestari.

Mohamed Ibrahim turut menekankan kepentingan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui kerjasama berterusan dengan pemegang taruh utama dan pemimpin berpengaruh.

Beliau menekankan visi bersama untuk mewujudkan persekitaran yang progresif, selamat dan inklusif untuk semua.

“Kami berterima kasih atas sokongan berterusan daripada masyarakat setempat dan menekankan pentingnya dialog berterusan serta kerjasama untuk mencapai matlamat bersama.

“Universiti ini berharap dapat meneruskan komitmennya untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan sosial, ekonomi dan alam sekitar rantau ini,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Ibrahim menganjurkan sesi libat urus bersama pemimpin dan wakil masyarakat dari Seri Iskandar, Bota dan Tronoh.

Sesi berkenaan turut dihadiri pengurusan UTP.

Mohamed Ibrahim turut berterima kasih kepada mereka yang hadir dan menekankan pentingnya menjalinkan kerjasama berterusan antara universiti dan masyarakat setempat.

“Hubungan positif antara UTP dan masyarakat tempatan telah memainkan peranan penting dalam pencapaian universiti selama ini. Kejayaan kami sangat berkait rapat dengan hubungan positif yang dibina dengan masyarakat setempat sejak penubuhannya 28 tahun lepas,” katanya.

UTP meraikan pencapaian penting dengan peningkatan luar biasa dalam Times Higher Education World University Rankings 2025 apabila melonjak ke kedudukan 201-250, menandakan kemunculan pertama UTP dalam kalangan 250 universiti terbaik dunia. 

Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan UTP sebagai universiti terkemuka di Malaysia dan universiti swasta terbaik di ASEAN.

“Kami hargai kejayaan ini atas sokongan daripada masyarakat sekeliling, dan menegaskan kejayaan ini bukan sahaja pencapaian universiti tetapi juga masyarakat secara kolektif,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan