BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ibu Bapa Syukuri BAP, Ringankan Beban Perbelanjaan

31/01/2025 09:10 AM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Dengan hanya dua minggu lagi sebelum sesi pertama persekolahan 2025 bermula, ibu bapa kini giat membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah untuk anak-anak, khususnya mereka yang baru melangkah ke alam persekolahan di peringkat rendah dan menengah.

Tinjauan Bernama mendapati ramai ibu bapa memanfaatkan musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina serta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diterima sejak dua minggu lalu dengan mengunjungi pasar raya dan kedai-kedai yang menjual pakaian serta peralatan sekolah.

Meskipun jumlah bantuan sebanyak RM150 mungkin tidak besar, bagi sesetengah ibu bapa, khususnya dalam kalangan golongan B40, ia amat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan mereka.

Seorang jurupaip, Yusof Hamzah, 52, berkata bantuan ini telah banyak membantu keluarganya sejak lapan tahun lalu, terutama dalam mengurangkan sekitar 30 peratus daripada kos perbelanjaan kelengkapan sekolah untuk tiga orang anaknya yang berusia 9, 14, dan 16 tahun.

“BAP ini memang sangat membantu kami sekeluarga, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup saban tahun. Sekurang-kurangnya, ia dapat menampung sedikit perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Saya berharap inisiatif ini akan diteruskan kerajaan dan jika boleh, jumlahnya ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasarayaku, Bandar Meru Raya, baru-baru ini.

Seorang suri rumah, Aisyah Taha, 44, turut melahirkan rasa syukur dan lega kerana BAP membantu semua golongan, terutama ibu bapa berpendapatan rendah.

Menurutnya, empat daripada lima anaknya yang berumur antara 8 hingga 17 tahun menerima bantuan ini, yang sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Jika ditanya cukup atau tidak, memang RM1,000 seorang pun belum tentu mencukupi. Namun, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan MADANI atas bantuan yang benar-benar membantu kami sebagai ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Azrul Hafiz Hamdan, 35, berpandangan bahawa pengekalan inisiatif BAP membuktikan komitmen kerajaan dalam menitikberatkan pendidikan sebagai sektor penting dalam pembangunan negara.

“Inisiatif ini wajar diteruskan kerana pelaburan dalam sektor pendidikan bukanlah sesuatu yang sia-sia. Ia disalurkan kepada generasi muda yang bakal menjadi tenaga kerja utama dalam p embangunan negara,” katanya.

BAP yang diperkenalkan pada 2012 bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima. Bermula sesi 2025/2026, bantuan ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam, dengan bayaran bermula pada 13 Jan lalu.

Agihan BAP bagi murid Tingkatan Enam Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 akan bermula pada 16 Feb depan, manakala bagi murid Tingkatan Enam baharu akan bermula pada 1 Julai 2025.

Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sejumlah RM791 juta bagi pembayaran BAP sebanyak RM150 secara sekali bayar (one-off) kepada setiap murid, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan